
Izham berkata, MAG – syarikat induk perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly, dan Amal – sepatutnya mendapat 13 pesawat Boeing 737-8 daripada syarikat Amerika Syarikat tahun ini, namun hanya empat diterima.
Katanya, penghantaran empat pesawat Airbus dijadual penghujung tahun ini, bagaimanapun MAG menjangkakan hanya tiga akan diterimanya.
Katanya, justeru ia sebahagiannya menjejaskan operasi.
“Kekurangan alat ganti global menjejaskan penghantaran tepat masa tempahan pesawat baharu kami, di mana menjejaskan perancangan armada,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, Izham berkata MAG akan memberi tumpuan menstabilkan operasinya dengan memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan terhadap syarikatnya penerbangan.
“Mengambil kira arahan terbaharu Pihak Berkuasa Penerbangan Malaysia (CAAM), MAG telah mengambil tindakan proaktif mengurangkan kapasiti dengan objektif memastikan operasi selamat dan menyakinkan.”
Katanya, tumpuan MAG kini adalah mengutamakan pelanggan terlebih dulu dengan menjamin pengalaman terbaik pada masa depan.
Semalam, CAAM mengurangkan tempoh pembaharuan sijil perakuan pengendali udara (AOC) Malaysia Airlines daripada tiga tahun kepada setahun sahaja.
Langkah itu susulan syarikat penerbangan nasional itu berdepan isu signifikan menyumbang kepada beberapa insiden teknikal pesawatnya, termasuk terpaksa berpatah balik.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, berkata Malaysia Airlines juga diarahkan mengemukakan laporan bulanan terhadap status pelaksanaan pelan mitigasi.
Katanya, antara rancangan mitigasi Malaysia Airlines selepas ini adalah meningkatkan tahap keselamatan pesawat, melaksana program rekrut tenaga kerja mahir secara agresif, dan mengecilkan skop perkhidmatan, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih kepada pihak ketiga, justeru fokus ditumpukan kepada pesawat.