DBKL batal sambutan Ambang Merdeka

DBKL batal sambutan Ambang Merdeka

DBKL berkata, pembatalan itu sebagai menghormati mangsa beberapa insiden yang berlaku di sekitar ibu kota baru-baru ini.

Sambutan Ambang Merdeka 2024 dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka 30 Ogos ini. (Gambar DBKL)
KUALA LUMPUR:
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan sambutan Ambang Merdeka 2024 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada 30 Ogos ini.

Menurut hantaran di Facebook DBKL, pembatalan itu sebagai menghormati mangsa beberapa insiden yang berlaku di sekitar ibu kota baru-baru ini.

DBKL turut mengajak orang ramai bersama-sama menghayati erti kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.

Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita warga India dikenali Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang benam sedalam 8m dengan operasi mencari dan menyelamat akan memasuki hari ketujuh hari ini.

DBKL dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memasuki saluran kumbahan dari lurang di Wisma Yakin, manakala kerja-kerja “shoring” (sistem sokongan sementara) secara manual dan penggalian juga dilaksanakan.

Menurutnya, usaha mengesan mangsa menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains akan disambung hari ini.

Malam tadi, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman dilaporkan berkata, pihaknya mengesan halangan berupa objek tersekat antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua yang terletak kira-kira 80m.

Katanya, dapatan itu hasil pengesanan dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian petang semalam, selain pengesanan kamera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.