
Untuk berbuat demikian, katanya, polis perlu mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengisytiharkan kejadian itu sebagai bencana.
“Ini bukan bencana. Tetapi, kami (polis) termasuk bomba serta agensi berkaitan menjalankan tugas seolah-olah ia seperti bencana. Kita buka Pusat Kawalan Operasi Bersepadu,” katanya menurut Sinar Harian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun dan timbalannya, Mohd Ali Tamby di Kota Bharu.
Beliau berkata, laluan sepanjang 1.4m di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut ditutup selepas mendapan tanah dikesan.
Penutupan itu membabitkan laluan mempunyai lima pembentung, tetapi tegasnya, kawasan ditutup itu tidak membabitkan laluan masuk kenderaan.
Menurutnya, arahan sudah dikeluarkan kepada ketua polis Dang Wangi serta ketua polis negeri.
“Kita (polis) tutup laluan itu saja dan tidak mengeluarkan arahan supaya kawasan lain turut berbuat demikian.
“Perniagaan tidak ditutup, urus niaga masih berlangsung seperti biasa. Laluan ke pembentung itu sekitar 50 hingga 70m saja,” katanya yang tidak mahu mengulas panjang perkara itu kerana ia membabitkan soal teknikal.
Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita warga India dikenali Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m dengan operasi mencari dan menyelamat (SAR) memasuki hari ketujuh.
Operasi SAR diteruskan dengan Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains yang mula digunakan sejak Selasa lalu.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Maimunah Mohd Sharif dilaporkan berkata, kaedah GPR akan digunakan sehingga selesai operasi SAR kerana keutamaan sekarang ialah menemui mangsa secepat mungkin.