6 wanita ‘dipaksa’ jadi pelacur diselamat

6 wanita ‘dipaksa’ jadi pelacur diselamat

Lima wanita Vietnam dan seorang Thailand diselamatkan dalam operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di sebuah rumah kedai di Kuala Lumpur.

wanita pelacur
Wanita terbabit dijanjikan peluang pekerjaan sah namun dieksploitasi sebagai pekerja seks sebaik tiba di negara ini. (Gambar Facebook Imigresen)
PETALING JAYA:
Enam wanita warga asing yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks diselamatkan Jabatan Imigresen, semalam.

Ketua Pengarah, Ruslin Jusoh, berkata enam wanita terdiri lima warga Vietnam dan seorang Thailand diselamatkan dalam operasi membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di sebuah rumah kedai tidak bernama di sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, operasi itu menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Katanya, berdasarkan maklumat daripada sumber aduan dan risikan, Jabatan Imigresen tidak menolak kemungkinan aktiviti itu melibatkan sindiket.

“Seorang lelaki warga Malaysia disyaki berperanan sebagai ‘handler’ dan ‘captain’ turut ditahan. Lelaki itu dipercayai mengawal wanita berkenaan seterusnya mendapatkan keuntungan daripada eksploitasi orang yang diperdagangkan.

“Modus operandi sindiket adalah menjanjikan peluang pekerjaan yang sah, namun dieksploitasi sebagai pekerja seks sebaik tiba di negara ini,” katanya dalam kenyataan.

Ruslin berkata, sindiket mempromosikan wanita terbabit melalui aplikasi dalam talian dan mereka yang dipilih akan diuruskan langganan di premis tersebut.

Katanya, sindiket itu mengaut keuntungan berlipat ganda hasil mengeksploitasi mangsa dengan mengenakan bayaran RM240 bagi sejam langganan.

Kes disisat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.