Tiada isu atlet terjun wanita Muslim sertai sekolah sukan, kata exco Terengganu

Tiada isu atlet terjun wanita Muslim sertai sekolah sukan, kata exco Terengganu

Hishamuddin Abdul Karim berkata atlet itu sebenarnya berasal dari Selangor, bukan anak kelahiran Terengganu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu Hishamuddin Abdul Karim berkata pihaknya tiada masalah jika atlet terjun wanita bukan Islam mewakili negeri itu pada masa akan datang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Terengganu tiada masalah jika dua atlet terjun wanita Muslim yang mewakili negeri itu di Sukma Sarawak baru-baru ini meneruskan latihan harian di Sekolah Sukan Malaysia seliaan kerajaan persekutuan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata atlet terbabit berasal dari Selangor, bukan dari negeri itu.

“Tiada masalah dia bukan atlet negeri kita. Dia bukan asal (kelahiran) Terengganu.

“Ini atlet persatuan, tiada isu. Kita tidak terlibat apa-apa,” katanya kepada FMT.

Hishamuddin menjelaskan, dua atlet terjun wanita itu adalah bawah Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) dan persatuan tersebut meminta kuota untuk mereka mewakili negeri.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata dua atlet terjun wanita Terengganu yang memenangi pingat gangsa di Sukma Sarawak akan meneruskan latihan harian di Sekolah Sukan Malaysia.

Pada Sukma Sarawak, atlet wanita terbabit – Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran dihantar ‘tanpa pengetahuan’ kerajaan Terengganu.

Terengganu sebelum ini melarang penyertaan wanita Muslim dalam acara itu kerana melanggar kod etika berpakaian.

Kelmarin, PRAT memohon maaf atas kesilapan menghantar penerjun wanita Muslim sehingga menimbulkan rasa tidak senang masyarakat.

Sementara itu, Hishamuddin berkata kerajaan Terengganu juga tidak akan mendiskriminasi jika ada atlet bukan Islam yang ingin mewakili negeri dalam acara tersebut pada masa akan datang.

“Kita tak ada masalah. Kalau ada atlet bukan Islam ingin masuk (mewakili) Terengganu kita ok. Akan bantu. Tak ada diskriminasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.