
M Suria, 25, yang dalam keadaan sugul berkongsi dengan Bernama tatu nama ibunya, Vijayaletchumy dicacah pada lengan kiri ketika percutiannya di Thailand baru-baru ini.
“Ibu segalanya untuk saya, apa jua saya lakukan, semua untuknya…sebab itu bila saya cacah tatu di tangan ini, nama beliau yang pertama terlintas di fikiran saya.
“Tapi, saya tak sangka ini yang terjadi. Saya tak sempat tunjuk betapa sayangnya saya pada ibu,” katanya dalam bahasa Telegu yang diterjemahkan rakan penulis.
Suria berkata, kali terakhir beliau bercakap dengan ibunya pada awal pagi hari kejadian.
“Saya hubungi dia pada 1.30 pagi hari kejadian dan beritahu saya mencacah tatu nama dia…ibu sangat gembira dan saya dapat rasakan nada gembira melalui suaranya.
“Pada pagi sebelum ibu jatuh, dia ada hubungi saya, tetapi disebabkan telefon saya kehabisan bateri, saya tidak dapat bercakap dengannya.”
Beliau berkata, kejadian menimpa ibunya berusia 48 tahun itu hanya diketahui selepas dimaklumkan abang ipar pada pagi Jumaat lalu.
Sejurus mendapat maklumat itu, Suria terus bergegas ke negara ini dari Thailand melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan menempuh perjalanan lebih 476km ke ibu negara.
“Saya tidak berfikir panjang dan mengambil e-panggilan dari Changlun, Kedah ke Kuala Lumpur yang menelan kos RM600.”
Menurutnya, beliau dan keluarga berharap jasad ibunya ditemui segera untuk disemadikan di kampung mereka di Kuppam, Andhra, India.
“Saya tidak mahu ibu terseksa, sudah lima hari kejadian dan kami reda.”
Tinjauan Bernama mendapati Suria dan bapanya serta beberapa ahli keluarga sering berada di lokasi kejadian bagi mengetahui perkembangan pencarian.
Jumaat lalu, seorang wanita warga India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.
Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran.
Sementara itu, operasi SAR memfokuskan kerja pencarian di kawasan terakhir lurang kumbahan, iaitu loji kumbahan di Pantai Dalam ditangguh sementara pada 7.30 malam Selasa susulan hujan lebat di Jalan Masjid India.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan malam tadi berkata, pasukan SAR sedang memecahkan dinding atas lurang di lokasi kejadian untuk mendapat kebolehlihatan lebih jelas dalam lurang.
Katanya, kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) digunakan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di kawasan sekitar Masjid India bagi menilai keadaan tanah serta Agensi Nuklear Malaysia di sekitar kawasan lubang benam.
“Kerja survei oleh JMG bermula dari pintu gerbang Masjid India ke depan kawasan masjid di mana liputan survei adalah 65m. Kerja tersebut akan bersambung esok (hari ini).”