
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPN Global Reach Sdn Bhd, Kefli Mahpol pula mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan bersubahat dengan Raduan bagi jenayah pecah amanah, yang dibacakan secara berasingan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Anita Harun.
Menurut dua pertuduhan, Raduan didakwa sebagai presiden MPN melakukan pecah amanah dengan memasukkan RM71,000 dana majlis itu ke akaun bank Kefli.
Bagi lima pertuduhan lain, Raduan didakwa sebagai pengarah MPN Global Reach melakukan kesalahan sama membabitkan wang pendahuluan program UKMShape-MPN Global Reach berjumlah RM200,000 melalui lima cek kepada Kefli.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat MPN di Country Heights Kajang antara 14 Mac 2023 hingga 15 April lalu, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.
“Saya kesal dengan pertuduhan ini, saya tidak melakukan apa-apa kesalahan. Saya masih terkejut dengan pendakwaan ini, saya mengaku tak bersalah,” kata Raduan yang juga pengerusi lembaga pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Kefli pula didakwa atas tujuh pertuduhan bersubahat dengan Raduan pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, sebat dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Hakim membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM40,000 bersama seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan serta dilarang mengganggu atau menghubungi saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan 23 Okt ini.
Julai lalu, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan berlaku penyalahgunaan dana MPN berjumlah RM373,516 membabitkan dua ahli lembaga pemegang amanahnya.
Susulan itu, Raduan tampil menjelaskan MPN tidak menerima sebarang dana kerajaan sejak dibubarkan pada 23 Mei 2018 bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad hingga 2022.