
Tertuduh, Wan Jasmira Wan Ibrahim, 41, dijatuhi hukuman berkenaan selepas Hakim Azrul Darus mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah, pada akhir kes pembelaan.
“Mahkamah dengan ini menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara itu berjalan serentak bermula tarikh hari ini,” katanya menurut Berita Harian.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga bulan, sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan pertama hingga lima, Wan Jasmira didakwa sebagai seorang peguam di sebuah syarikat guaman melakukan pecah amanah wang milik lima individu, di sebuah unit pejabat di Off Jalan Gombak, Setapak antara 7 Julai 2010 hingga 26 Ogos 2011.
Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amir Hannif, manakala peguam Azi Azlin Zulkifli mewakili tertuduh.