
Tinjauan Bernama mendapati pita kuning polis turut dipasang sepanjang jalan dari Masjid India hingga Maybank di Jalan Bunus.
Bagaimanapun, pejalan kaki masih dibenar melalui sebahagian jalan itu yang tidak terjejas manakala kedai di kawasan sekitar dibuka seperti biasa.
Ketua Polis Dang Wangi, Suliezmy Affendy Sulaiman, pula memberitahu pemberita bahawa perbincangan sedang dilakukan untuk memperluas penutupan jalan dan perkembangan lanjut akan dimaklum kemudian.
Mendapan tanah itu dipercayai berlaku pada awal pagi selepas hujan lebat dan ribut malam tadi.
Insiden tanah jerlus pada Jumaat lepas menyaksikan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter dengan operasi mencari dan menyelamat mangsa memasuki hari keenam hari ini.