Mahkamah Swiss sabit 2 eksekutif dituduh gelap USD1.8 bilion dari 1MDB

Mahkamah Swiss sabit 2 eksekutif dituduh gelap USD1.8 bilion dari 1MDB

Dua individu itu cipta rancangan penipuan bersama ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, menurut pendakwa raya.

Tarek Obaid (kiri) dan Patrick Mahony mewujudkan tanggapan bahawa syarikat mereka disokong oleh kerajaan Saudi. (Gambar AFP)
BELLINZONA:
Mahkamah jenayah persekutuan Switzerland hari ini mensabitkan kesalahan ke atas dua eksekutif di sebuah syarikat cari gali minyak yang dituduh menggelapkan lebih USD1.8 bilion daripada 1MDB.

Keputusan itu episod terbaru dalam skandal 1MDB, kisah kompleks rasuah antarabangsa yang melanda banyak institusi kewangan dan individu di seluruh dunia sejak dakwaan salah laku pertama kali muncul pada 2015.

Pendakwa raya mendakwa Patrick Mahony, seorang warga Switzerland-British, dan Tarek Obaid, seorang warga Swiss-Saudi, membantu menubuhkan usaha sama dengan 1MDB dengan mewujudkan tanggapan bahawa syarikat mereka, PetroSaudi, disokong oleh kerajaan Saudi.

Walaupun tanggapan itu tidak benar, tertuduh berjaya memujuk lembaga pengarah 1MDB untuk menyertai perancangan mereka pada 2009 sebelum menipu syarikat itu, menurut pendakwa raya.

Menurut dakwaan, kedua-dua eksekutif itu menipu 1MDB sebanyak USD1.8 bilion untuk memperkayakan diri mereka, yang mana Obaid mendapat sekurang-kurangnya USD805 juta dan Mahony sekurang-kurangnya USD37 juta.

Obaid dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh mahkamah, manakala Mahony menerima hukuman enam tahun.

Pendakwa raya berkata dua lelaki itu mencipta rancangan penipuan itu bersama ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho, penasihat kepada bekas perdana menteri Najib Razak, yang sudah dipenjarakan atas peranannya dalam skandal berbilion dolar itu.

Dua lelaki itu pada mulanya mengekstrak USD1 bilion daripada 1MDB supaya ia boleh membeli kepentingan dalam usaha mereka, dan menyusuli usaha sama itu tertuduh mengambil lagi USD830 juta daripada syarikat itu antara tahun 2010 dan 2011, sebagai sebahagian daripada pinjaman Islamik.

Penyiasat Malaysia dan Amerika Syarikat menganggarkan sejumlah USD4.5 bilion disedut daripada 1MDB berikutan penubuhannya pada 2009, membabitkan watak seperti Najib, kakitangan Goldman Sachs, dan pegawai peringkat tinggi di tempat lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.