
Tertuduh, Pho Cho, 37, yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Anita Harun.
Dia dituduh memberi rasuah berjumlah RM5,650 sebagai upah kepada seorang pegawai imigresen yang bertugas di KLIA Terminal 2 sebagai dorongan melepaskan kemasukan sembilan warga Myanmar ke negara ini tanpa melalui prosedur yang ditetapkan.
Kesalahan itu dilakukan di medan selera Indah Puteri, Kampung Baharu Lanjut, Sepang kira-kira pukul 3.55 petang pada 31 Okt tahun lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 16(b)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muaz Ahmad Khairuddin tidak mencadangkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh adalah warga asing.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Ungku Imran Athari memohon Pho dibebaskan dengan jaminan dengan alasan ini adalah kesalahan pertama tertuduh.
Katanya, Pho menetap di negara ini selama 18 tahun dan berjanji akan memberi kerjasama penuh sepanjang perbicaraan.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Anita menetapkan jaminan RM70,000 bersama seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap awal bulan.
Anita juga menetapkan 30 Sept ini untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini media melaporkan 12 individu termasuk lima penguat kuasa sebuah agensi penguatkuasaan dicekup SPRM selepas disyaki terlibat sindiket membawa masuk warga asing secara haram dengan meraih keuntungan lebih RM4 juta, sejak dua tahun lalu.
Penguat kuasa terbabit yang bertugas di KLIA Terminal 2 menjadi tali barut melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata sindiket bersekongkol dengan penguat kuasa yang sedia menunggu di beberapa kaunter tertentu bagi memudahkan kemasukan warga asing.