
Jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata mesyuarat jemaah menteri ada membincangkan perkara itu dan memutuskan tidak akan berganjak dari keputusan melesenkan dua perkhidmatan terbabit mengikut garis masa ditetapkan.
“Ia tidak melibatkan mana-mana aplikasi selain dua bentuk perkhidmatan saya sebutkan tadi.
“Dari segi garis masa kekal 1 jan 2025, (lesen) lesen sosial media dan pesanan internet berkuat kuasa…tiada anjakan perubahan dari tarikh berkenaan,” katanya yang juga menteri komunikasi pada sidang media.
Isnin lalu, memetik laporan Reuters, sebuah kumpulan industri Asia merangkumi Google, Meta, dan X menggesa kerajaan Malaysia menghentikan rancangan menghendaki perkhidmatan media sosial memohon lesen, atas alasan peraturan yang dicadangkan tidak cukup jelas.
Dalam surat ditujukan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Gabungan Internet Asia (AIC) antaranya dianggotai Apple Inc, Amazon dan Grab pula berkata cadangan pelesenan itu tidak dapat dilaksanakan bagi industri dan boleh menyekat inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar ke atas perniagaan.
Kumpulan itu mendakwa, tiada rundingan awam rasmi dibuat berhubung rancangan itu, yang menyebabkan industri tidak pasti tentang skop kewajipan yang akan dikenakan terhadap platform media sosial.
Mereka turut bimbang peraturan dicadangkan itu boleh menyekat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, yang menarik pelaburan besar tahun ini.
Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan e-hailing Grab menafikan terlibat menyuarakan gesaan supaya kerajaan menghentikan hasrat berkenaan, dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan mengenai pelesenan untuk platform media sosial.