Bina taman, naik taraf perpustakaan pupuk budaya membaca, kerajaan diberitahu

Bina taman, naik taraf perpustakaan pupuk budaya membaca, kerajaan diberitahu

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata kadar membaca rakyat perlu ditingkatkan untuk mencapai standard Unesco.

Aaron Ago Dagang
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang menggesa rakyat mengambil bahagian dalam program dianjurkan Perpustakaan Negara.
PUTRAJAYA:
Kerajaan disaran membina taman bacaan di setiap kawasan Parlimen dan menaik taraf kemudahan perpustakaan sedia ada bagi memupuk budaya membaca lebih sihat dalam kalangan rakyat.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata Kajian Profil Membaca Malaysia 2022/2023 dijalankan kementerian bersama Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati, minat membaca dalam kalangan rakyat berada pada tahap 88.6%.

“Keputusan kaji selidik itu juga menunjukkan bahawa kementerian boleh meningkatkan lagi minat membaca melalui kerjasama dengan kementerian lain, seperti Kementerian Pendidikan Tinggi, dan perpustakaan akademik,” katanya kepada FMT.

Kajian itu adalah petunjuk penting menilai tahap membaca rakyat Malaysia untuk memastikan ia selaras kadar literasi negara yang kini berada pada 97%, seperti dinilai Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Perpustakaan di seluruh negara harus dinaik taraf. (Gambar Facebook)

Menteri itu berkata, berdasarkan satu lagi cadangan diterima melalui kaji selidik tersebut, kementeriannya menubuhkan Indeks Membaca Kebangsaan (IMK) untuk memantau tahap membaca negara dari 2025-2030.

Aaron berkata, antara 2023 dan Jun tahun ini, Kementerian Perpaduan Negara melaksanakan 93,797 program seluruh negara bagi mempromosikan minat membaca.

Beliau berkata, program itu dijalankan PNM serta pelbagai perpustakaan negeri, komuniti, dan desa di seluruh negara.

“Keseluruhan program berkenaan dihadiri oleh 3,290,958 orang,” katanya.

“Kementerian, melalui PNM, komited untuk menyediakan maklumat kepada orang ramai melalui pelbagai bahan bacaan, termasuk bahan bercetak dan sumber digital yang boleh diakses melalui portal u-Pustaka.

“Kami berhasrat memupuk tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia dari usia muda agar mereka memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan pada masa depan,” kata Ahli Parlimen Kanowit itu.

Beliau berkata, PNM menyediakan 903,854 unit kandungan digital daripada 20 pangkalan data di portal u-Pustaka. Ini termasuk e-buku, e-jurnal, e-artikel, bahan e-pembelajaran, e-majalah, dan e-akhbar.

Aaron menggesa orang ramai ambil tahu dan menyertai pelbagai program dianjurkan PNM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.