Radar tembus tanah bantu kesan mangsa tragedi Masjid India

Radar tembus tanah bantu kesan mangsa tragedi Masjid India

Alatan itu yang dibawa Agensi Nuklear Malaysia pernah digunakan dalam kes tanah runtuh di Batang Kali pada Dis 2022.

Alat pengesan Ground Penetrating Radar
Alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) dibawa ke lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India bagi membantu operasi mencari mangsa yang hilang sejak Jumaat lalu. (Tangkap layar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Alat pengesan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah mungkin digunakan untuk mengesan wanita warga India yang masih hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, dalam operasi mencari dan menyelamat hari ini.

Alat yang dilihat sudah berada di lokasi kejadian dipercayai dibawa oleh Agensi Nuklear Malaysia pada 11.15 pagi tadi selain sepasukan teknikal daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang turut membuat pemantauan.

Penggunaan alat itu sebagai usaha membantu mencari mangsa yang masih hilang walaupun kejayaan penggunaan alat itu belum dapat dipastikan.

GPR berfungsi dengan memancarkan gelombang elektromagnetik ke bawah permukaan tanah menerusi pemancar dan mengesan kembali gelombang yang terpantul menggunakan sensor penerima.

Selain itu, alat sama turut diguna pakai dalam kes tanah runtuh di Batang Kali pada Dis 2022.

Dalam perkembangan sama, teknik flushing turut dilaksanakan di end point iaitu di Loji Pantai Dalam oleh Indah Water Konsortium (IWK) dengan bantuan Jabatan Bomba.

Pemangku Pengarah Bomba Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat berkata fokus hari ini bagi pencarian wanita warga India itu tertumpu pada end point.

“Hari ini, pasukan mencari teruskan kerja flushing. Fokus di end point Loji Pantai Dalam. Teknik flushing dan pemeriksaan fizikal oleh bomba dan IWK,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Bernama melaporkan mesin jetter atau jet pembetung berkuasa tinggi kini digunakan untuk memecahkan sisa batuan yang terdapat di lurang di hadapan Wisma Yakin, Jalan Masjid India di sini dalam usaha mencari mangsa.

Mangsa yang merupakan pelancong dari Kuppam, Andhra Pradesh dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Masjid India pada 8.22 pagi Jumaat lepas.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, sedang berjalan kaki di kawasan itu untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.