Kerajaan tiada hasrat tangguh kerangka kawal selia media sosial

Kerajaan tiada hasrat tangguh kerangka kawal selia media sosial

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ia termasuk perlesenan perkhidmatan media sosial bermula tahun depan.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan kerajaan tidak berhasrat tangguh kerangka kawal selia media sosial.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak berhasrat untuk menangguhkan pelaksanaan kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial termasuk pesanan internet yang akan dikuatkuasakan 1 Jan tahun depan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, ia tetap akan diteruskan demi memastikan langkah proaktif kerajaan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna tercapai.

“Kita tidak akan tangguh,” katanya ketika ditanya sama ada kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan kerangka itu susulan surat terbuka dihantar Gabungan Internet Asia (AIC) kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Bagaimanapun, penyedia perkhidmatan e-hailing Grab semalam dilaporkan menafikan terlibat menyuarakan gesaan supaya kerajaan menghentikan hasrat berkenaan, dan mempertimbangkan dengan teliti rancangan mengenai pelesenan untuk platform media sosial.

Fahmi menyifatkan surat berkenaan sebagai pelik kerana isi kandungan surat serta jumlah logo syarikat yang menganggotai AIC sentiasa berubah.

“Saya sudah semak. Mereka (AIC) hantar satu surat pada 23 Ogos lepas, diikuti satu surat pindaan pada 26 Ogos dan satu lagi pagi tadi. Satu surat yang sama – pertama ada banyak logo, kemudian tinggal enam logo dan terakhir tiada logo, surat pertama kata ‘unworkable’ dan sekarang ini pandangan mereka sudah berubah,” katanya.

Susulan itu beliau mempelawa AIC untuk mengadakan rundingan dengan kerajaan bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan pelaksanaan tersebut, kerana kerajaan sentiasa mengambil sikap terbuka.

“Saya bersedia untuk berjumpa dengan AIC. Apa yang saya dimaklumkan, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) sudah bertemu dengan AIC pada Mei lepas, namun AIC minta masa sebulan untuk mereka sampaikan pandangan kepada SKMM, tetapi mereka minta pula dilanjutkan, bukan sekali tapi beberapa kali,” katanya.

Ditanya kemungkinan pelaksanaan kerangka itu akan menyebabkan syarikat asing menarik diri daripada beroperasi di negara ini, Fahmi dengan ringkas berkata: “kalau mahu beroperasi di negara ini, kena hormat dan patuh kepada undang-undang Malaysia”.

Semalam, memetik laporan Reuters sebagai berkata, sebuah kumpulan industri Asia merangkumi Google, Meta, dan X menggesa kerajaan Malaysia menghentikan rancangan menghendaki perkhidmatan media sosial memohon lesen, atas alasan peraturan yang dicadangkan tidak cukup jelas.

Dalam surat terbuka Jumaat lepas, ditujukan kepada Anwar, AIC antaranya dianggotai Apple Inc, Amazon dan Grab, berkata cadangan pelesenan itu tidak dapat dilaksanakan bagi industri dan boleh menyekat inovasi dengan meletakkan beban yang tidak wajar ke atas perniagaan.

Kumpulan itu mendakwa, tiada rundingan awam rasmi dibuat berhubung rancangan itu, yang menyebabkan industri tidak pasti tentang skop kewajipan yang akan dikenakan terhadap platform media sosial.

Mereka turut bimbang peraturan dicadangkan itu boleh menyekat pertumbuhan ekonomi digital Malaysia, yang menarik pelaburan besar tahun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.