Hampir 600,000 pengguna P Pinang nikmati rebat air hingga Disember

Hampir 600,000 pengguna P Pinang nikmati rebat air hingga Disember

Tempoh bil air dwibulanan sebelum ini melebihi 67 hari juga dihadkan kepada 63 hari maksimum.

water crisis
Rebat bil air tidak terpakai kepada pengguna bukan domestik, pengguna domestik pukal, pengguna perkapalan atau rumah ibadat dan institusi kebajikan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebanyak 597,705 pengguna domestik akan menikmati penjimatan keseluruhan RM18.60 dalam bil air dari September hingga Disember ini, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, K Pathmanathan, berkata rebat itu tidak terpakai kepada pengguna bukan domestik, pengguna domestik pukal, pengguna perkapalan atau rumah ibadat dan institusi kebajikan.

“Bergantung pada tarikh pengebilan, pengguna domestik akan melihat rebat dalam bil yang dikeluarkan pada kitaran pengebilan September/Oktober (RM12.40) dan November/Disember (RM6.20),” katanya dalam kenyataan.

Awal tahun ini, kadar air domestik di Pulau Pinang ditetapkan pada 62 sen untuk 20 meter padu pertama (naik 182% daripada 22 sen), RM1.17 untuk band kedua (20 meter padu ke atas hingga 35 meter padu (naik 154% daripada 46 sen), dan RM2.07 untuk band ketiga (melebihi 35 meter padu).

Kadar untuk band pertama tidak dikaji semula selama 31 tahun manakala kadar untuk band lain tidak disemak sejak sembilan tahun lalu.

Susulan itu, kerajaan negeri pada Jun lalu mengumumkan air percuma kepada pengguna domestik bagi 10,000 liter pertama selama enam bulan dari Julai hingga Disember, bagi mengurangkan impak kenaikan tarif air.

Selain itu, rebat sedia ada iaitu RM20 bagi isi rumah lapan individu atau lebih, dengan pendapatan bulanan RM2,250 dan ke bawah, diluaskan kepada isi rumah berpendapatan sehingga RM5,580 dan ke bawah.

Sementara itu, Pathmanathan berkata bertindak atas aduan orang ramai terhadap tempoh pengebilan bil air melebihi 67 hari, PBAPP membuat pelarasan dengan mengehadkan jangka masa pengebilan dwibulanan maksimum hanya selama 63 hari.

“Kelewatan pengebilan disebabkan oleh bilangan cuti umum sepanjang enam bulan lalu dan beban kerja pembacaan meter yang semakin meningkat iaitu 696,910 pengguna pada Jun.

“Berkuat kuasa serta-merta, PBAPP telah menambah peruntukan tuntutan kerja lebih masa untuk pembaca meter bagi memastikan bil air Pulau Pinang dikeluarkan tepat pada masanya.

“Kami juga akan menggunakan lebih banyak pembaca meter dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.