Gas beracun, mudah terbakar cabaran bomba kesan mangsa tanah jerlus

Gas beracun, mudah terbakar cabaran bomba kesan mangsa tanah jerlus

Anggota SAR memakai alat bantuan pernafasan masuk dalam tangki najis, selain sentiasa waspada kehadiran gas metana mudah terbakar.

Terdapat pelbagai gas berbahaya dalam tangki najis setinggi 15m milik IWK antaranya gas hidrogen sulfida dan gas metana. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Gas berbahaya terkumpul dalam tangki najis setinggi 15m di Loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam menjadi cabaran utama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mencari mangsa tanah jerlus, di Jalan Masjid India.

Sumber memberitahu perkara itu diketahui selepas pasukan SAR turun ke dalam tangki besar berkenaan yang menyimpan bahan kumbahan di sekitar ibu kota dengan masing-masing dua anggota pada Ahad dan empat anggota Isnin lalu.

“Terdapat pelbagai jenis gas berbahaya di dalam tangki berkenaan antaranya gas hidrogen sulfida dan gas metana yang bukan sahaja beracun, tetapi juga mudah terbakar,” katanya kepada Bernama.

Hidrogen sulfida ialah gas yang tidak berwarna, beracun, mudah terbakar, dan berbau seperti telur busuk serta boleh timbul daripada aktiviti biologi ketika bakteria menguraikan bahan organik dalam keadaan tanpa oksigen (kegiatan anaerobik).

Sumber berkata, anggota SAR mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) khas yang hanya boleh digunakan sekali dan alat bantuan pernafasan ketika turun ke tangki berkenaan.

Menurutnya, anggota SAR akan diturunkan menggunakan sistem tali ke dasar tangki berkenaan dan di bahagian penapis bagi tujuan pencarian sebarang petunjuk berkaitan mangsa.

“Kerja mencari menggunakan tangan dan alat khas. Semasa di dalam tangki, anggota pasukan SAR tidak boleh melakukan pergerakan secara kasar atau menguis longgokan najis dengan kuat kerana gas metana yang yang terkumpul mudah terbakar, segalanya mesti dilakukan dengan berhati-hati.

“Kerja-kerja mencari akan dijalankan di dalam tangki berkenaan dan di kawasan penapis untuk mengesan jika terdapat sebarang benda asing terperangkap selepas semua najis yang berada di dalam tangki berkenaan dipam keluar dan hingga semalam, keputusannya masih negatif,” katanya.

Pada Jumaat lalu, mangsa yang dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India.

Mangsa yang berada di negara ini bersama keluarga untuk melancong, dilaporkan sedang berjalan di kawasan berkenaan untuk ke sebuah kuil berhampiran bagi bersarapan sebelum kejadian itu berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.