
Seminar dianjurkan menerusi Arkib Negara itu berlangsung di Raia Hotel & Convention Centre Alor Setar, Kedah hari ini.
Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata koleksi surat-menyurat itu juga diwartakan sebagai warisan dunia ‘Memory of the World Register’ pada 2001 oleh Unesco atas hasil usaha Arkib Negara dengan kerjasama penyelidik tempatan.
“Kajian dan penyelidikan lanjut ke atas surat-menyurat ini boleh memberikan impak yang sangat bermanfaat kepada masyarakat dan negara.

“Ia boleh memberikan semangat dan motivasi untuk kita mencontohi pentadbiran dan kepimpinan baginda mengurus tadbir negeri untuk diaplikasikan dalam urusan pentadbiran dan tatakelola sama ada di peringkat jabatan mahupun persekutuan,” katanya dalam ucapan perasmian seminar itu.
Beliau berkata, koleksi surat-menyurat Sultan Abdul Hamid sangat istimewa dan bernilai kerana satu-satunya kumpulan surat-menyurat manuskrip Melayu yang tersusun jika dibandingkan dengan koleksi kerajaan lain di gugusan kepulauan Melayu.
“Koleksi ini satu-satunya bukti rekod bertulis mengenai kesultanan Melayu semasa zaman pemerintahan kerajaan asing yang masih dipelihara.
“Koleksi ini banyak mengandungi maklumat penting dan gambaran jelas mengenai sejarah negeri Kedah sewaktu peralihan kuasa Siam dan kemasukan British dalam pentadbiran Kedah,” katanya.
Selain seminar, juga diadakan pameran ‘Warkah Warisan Dunia’ yang mempamerkan koleksi surat-menyurat Sultan Abdul Hamid bagi memberi gambaran kepada pengunjung situasi ekonomi, politik, sosiobudaya dan sejarah diplomatik Kedah ketika itu.
Turut diadakan demonstrasi pemuliharaan bahan arkib untuk mendedahkan peranan Arkib Negara sebagai penyimpan dan memelihara khazanah warisan negara.
Sementara itu, Aaron berkata Arkib Negara mewujudkan inisiatif hari ini dalam sejarah sebagai usaha untuk meningkatkan dan menyebarluaskan maklumat sejarah negara kepada masyarakat.
Katanya, program dikenali sebagai Kini Hari ini Dalam Sejarah (HIDS) boleh didapati di pelbagai platform seperti 34 saluran radio RTM, slot kapsul masa IKIM FM, portal HIDS serta melalui aplikasi HIDS di Google Play Store dan Apple App Store.