Puspakom diberi kuasa periksa kenderaan bawah mekanisme baharu

Puspakom diberi kuasa periksa kenderaan bawah mekanisme baharu

Puspakom boleh menyediakan perkhidmatan di pusat pemeriksaan dan perkhidmatan pemeriksaan bergerak di seluruh negara, kata Loke Siew Fook.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, Puspakom akan terus beroperasi tetapi syarikat itu perlu bersaing dengan pemain industri yang lain. (Gambar Puspakom)
PUTRAJAYA:
Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menjadi syarikat pertama diberi kuasa untuk menjalankan fungsi pemeriksaan kenderaan motor bawah mekanisme baharu Akta 333.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, melalui pemberian kuasa bawah Seksyen 126(1) Akta 333, Puspakom boleh menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan di pusat pemeriksaan dan perkhidmatan pemeriksaan bergerak di seluruh negara.

“(Sekarang) Puspakom akan terus beroperasi tetapi mereka perlu bersaing dengan pemain industri yang lain, apa sahaja mereka laksanakan sebelum ini boleh diteruskan seperti biasa,” katanya pada sidang media.

Tahun lepas, Loke mengumumkan Puspakom tidak akan lagi menjadi penyedia tunggal perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor bagi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula 1 Sept tahun ini.

Katanya, ini berikutan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri 17 Mac 2023 bahawa perkhidmatan pemeriksaan berkala kenderaan motor dibuka kepada mana-mana pihak yang berkelayakan.

Loke berkata, setakat ini, sambutan daripada industri untuk menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang ditetapkan bawah Akta 333 adalah positif.

Katanya, hampir 50 syarikat menyatakan minat manakala dua syarikat telah mengemukakan permohonan secara rasmi bagi mendapatkan lesen sebagai penyedia perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor.

“Jadi mana-mana syarikat yang masuk dahulu, kita akan buat penilaian dahulu. Maknanya, sesiapa yang lebih awal buat permohonan, mereka akan dapat lesen lebih awal,“ katanya menambah, tarikh tutup permohonan adalah pada 31 Okt.

Ditanya sama ada terdapat syarat ketat, Loke berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi ialah keupayaan dari segi tempat yang sesuai, keupayaan teknikal serta pelaburan dalam mesin dan peralatan.

“Kementerian Pengangkutan akan menilai semua permohonan dan mengumumkan pemain-pemain baharu yang berjaya dalam masa terdekat,” katanya.

“JPJ akan terus mengawal selia dan memantau penyediaan perkhidmatan serta pengoperasian pemeriksaan kenderaan motor supaya teratur, mematuhi standard serta peraturan telah ditetapkan dan supaya perkhidmatan berkualiti disediakan kepada pelanggan.

Garis panduan permohonan pemberian kuasa atau lesen bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor boleh diperolehi daripada laman web Kementerian Pengangkutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.