Mpox: 25 kes negatif, 6 dalam pemantauan

Mpox: 25 kes negatif, 6 dalam pemantauan

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata kali terakhir jangkitan dikesan di Malaysia pada November 2023.

Mpox
Dzulkefly Ahmad berkata, keseluruhannya kes mpox di Malaysia sehingga kini kekal sembilan. (Gambar AP)
PUTRAJAYA:
Sebanyak 31 kes mpox atau cacar monyet disyaki di Malaysia setakat hari ini dengan 25 kes disahkan negatif, manakala enam masih dalam pemantauan.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad, berkata kes mpox di Malaysia kekal sembilan kes dengan kes pertama dilaporkan pada 26 Julai 2023 dan terakhir ialah pada November tahun sama.

“Dari Disember 2023 hingga masa ini, tiada kes mpox,” katanya pada sidang media.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara KPJ Healthcare dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Dzulkefly berkata, langkah segera diambil Kementerian Kesihatan susulan peningkatan kes di negara jiran antaranya Singapura dan Thailand dengan memperkukuh saringan di pintu masuk negara dan pengaktifan 10 makmal yang menjalankan ujian PCR bagi tujuan pengesahan termasuk dua makmal swasta serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

“Bukan hanya dua negara ini (Singapura dan Thailand), tetapi juga pengunjung yang datang dari negara-negara lain terutamanya dari benua Afrika.

“Kami juga menghantar lebih banyak dan kerap pekeliling dalam kalangan kemudahan kesihatan kami, kedua-dua awam dan swasta,” katanya.

Pada 14 Ogos lepas, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.