
Menterinya, Aaron Ago Dagang, berkata bukan itu sahaja, KPN juga sedang dalam usaha untuk lima prinsip rukun berserta mukadimahnya dicetak pada helaian pertama naskhah Perlembagaan Persekutuan.
“KPN juga akan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan menyediakan modul kenegaraan dan jati diri bagi PLKN 3.0 yang dijadual bermula Jun 2025, selain merancang mengadakan konvensyen, modul penghayatan serta siri jelajah,” katanya ketika diwawancara FMT.
Aaron berkata, semua inisiatif itu dirangka agar Rukun Negara difahami dan dihayati setiap rakyat untuk mengukuhkan perpaduan dan keharmonian yang dibina sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.
“Kita mahu menghidupkan kembali penghayatan Rukun Negara untuk pupuk perpaduan,” tegasnya.
KPN sejak 2020 telah menyusun pelbagai program untuk memastikan penghayatan terhadap prinsip Rukun Negara benar-benar dirasai rakyat.
Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, KPN melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) melancarkan inisiatif Eksplorasi Rukun Negara untuk menyemarakkan lagi penghayatan terhadap Rukun Negara.
Selain eksplorasi itu, KPN dengan kerjasama JPNIN melaksanakan pelbagai program antaranya Simposium Pendidikan Rukun Negara Prasekolah, Pendidikan Perpaduan di Kelas Tabika Perpaduan, Kem Anak Malaysia, Kenali Budaya Kita, Program Raja Kita Payung Kita, Jelajah Belia Rukun Negara dan banyak lagi.
“KPN juga memberikan fokus kepada generasi muda seawal di bangku sekolah, agar mereka diberi pendedahan dan pemahaman dengan nilai murni rukun itu,” katanya.
Untuk tujuan itu, KPN menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menubuhkan sekurang-kurangnya 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) di sekolah rendah dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di institusi pengajian tinggi (IPT), setakat Jun 2024.
Pendedahan awal berkaitan Rukun Negara turut diberikan kepada kanak-kanak seawal usia empat hingga enam tahun di tabika dan taska perpaduan seluruh negara.