
Justeru, beliau mengarahkan siasatan segera ke atas sebuah ladang durian di kawasan berbukit Kampung Pasir, Slim River berdekatan lokasi kejadian itu.
Menurutnya, siasatan itu akan melihat sama ada ladang seluas 43 hektar terbabit mendapat kebenaran merancang (KM) daripada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLAN Malaysia) serta mematuhi penilaian impak alam sekitar (EIA).
“Sekarang sudah ada satu syarat wajib, mana-mana orang yang nak membangunkan tanah, nak buat ladang dia kena buat KM.
“Dahulu KM untuk pembinaan, tetapi sekarang hendak memotong pokok pun kena ada KM…jadi dia sepatutnya mematuhi syarat itu dan hantar permohonan KM kepada PLAN Malaysia.
“EIA tu sepatutnya dibuatlah, kalau dia gagal, dia kena denda atas kesalahan itu, apa lagi kalau kita menjadi penyebab kepada banjir,” katanya menurut Harian Metro dalam sidang media sempena Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar ke-52 di Ipoh.
Semalam, akhbar itu melaporkan kawasan berbukit dan berteres seluas 43 hektar di Kampung Pasir, Slim River bakal muncul pusat pengeluaran durian premium dengan penanaman 1,000 pokok durian Musang King.
Difahamkan, projek pertanian berskala besar diusahakan sebuah syarikat itu memasuki fasa pertama membabitkan penanaman 400 anak pokok Musang King sejak pertengahan Jun lalu.
Saarani berkata, laporan siasatan itu akan disiapkan dan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Rabu ini.
“Kita mahu melihat kesan sebab kejadian (kepala air) itu juga beri iktibar kepada seluruh negeri, bukan hanya di Slim River.”
Jumaat lalu, muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di Ulu Slim dilaporkan pecah menyebabkan kejadian kepala air yang memaksa 175 mangsa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara, manakala 21 orang terperangkap di Risda Eco Risda yang diselamatkan pasukan bomba keesokannya.
Kejadian kepala air itu turut menyebabkan tiga jambatan runtuh dan terputus laluan, iaitu Jambatan Lama Sungai Slim, Jambatan Ulu Slim dan Jambatan Kampung Piong dekat Sungai Bil.