‘Hanya isu teknikal, tak perlu tukar menteri’, Fahmi jawab seloroh Akmal

‘Hanya isu teknikal, tak perlu tukar menteri’, Fahmi jawab seloroh Akmal

Sabtu lalu, Dr Akmal Saleh berseloroh cadang menteri komunikasi diganti susulan dakwaan liputan telekomunikasi kurang memuaskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya akan berbincang dengan pengurusan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur untuk mengatasi masalah liputan telekomunikasi kurang memuaskan.
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyanggah ‘seloroh’ Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang mencadangkannya diganti susulan dakwaan liputan telekomunikasi kurang memuaskan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024, minggu lalu.

Menurutnya, masalah itu mungkin membabitkan isu teknikal di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur yang menjadi lokasi penganjuran perhimpunan tahunan Umno.

Bagaimanapun, Fahmi berkata pihaknya akan berbincang dengan pengurusan WTC diketuai Pengarah Urusannya Irmohizam Ibrahim untuk mengatasi masalah berkenaan pada masa depan.

“Dalam isu teknikal ini tak perlu tukar menteri (komunikasi), berbeza dengan masalah di luar,” katanya selepas program ‘Pentarama X Kelab Malaysiaku’ sempena sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di SMK Seri Pantai.

Sabtu lalu, Akmal ketika sesi penggulungan PAU2024 secara seloroh mencadangkan menteri komunikasi diganti dengan wakil parti itu, susulan masalah telekomunikasi di WTC.

Sementara itu, Fahmi mengalu-alukan hasrat Perikatan Nasional (PN) mencabar keputusan PRK Nenggiri yang menyaksikannya kalah kepada Barisan Nasional (BN), 17 Ogos lalu.

“Kalau tak boleh ‘move on’, ikut proses. Seperti presiden Bersatu (Muhyiddin Yassin) pun nampak belum ‘move on’,” katanya.

FMT sebelum ini melaporkan Bersatu Kelantan sedang mengumpul bukti untuk memfailkan petisyen kerana wujud sogokan dan ugutan kepada pengundi sepanjang kempen PRK berlangsung.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.