Chow tak pasti akan pertahan jawatan DAP selepas pencalonan tamat

Chow tak pasti akan pertahan jawatan DAP selepas pencalonan tamat

Ketua DAP Pulau Pinang itu berkata, beliau hanya akan tahu dirinya dicalonkan atau tidak dalam satu atau dua hari.

chow kon yeow
Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata beliau mempunyai dua minggu untuk memutuskan sama ada mahu mempertahankan jawatan dalam parti, jika dicalonkan. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Ketua DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow masih tidak pasti jika beliau dicalonkan untuk mempertahankan jawatan dalam parti, walaupun pencalonan untuk pemilihan peringkat negeri ditutup Sabtu lalu.

Katanya, beliau hanya akan tahu dalam sehari, dua ini sama ada dirinya dicalonkan sekurang-kurangnya dua cawangan DAP di Pulau Pinang, yang merupakan kriteria untuk bertanding.

“Jika saya dicalonkan, saya akan pertimbang (mempertahankan jawatan itu). Dalam DAP Pulau Pinang, kita ada dua minggu untuk mempertimbangkan pencalonan kita dan memberi maklum balas,” katanya di luar sebuah acara di sini.

Ketua menteri itu berkata, proses penamaan calon sulit dan beliau hanya akan tahu dirinya dicalonkan selepas menerima makluman daripada ibu pejabat parti.

Pengerusi DAP negeri biasanya memegang jawatan ketua menteri. Bagaimanapun, protokol ini tidak dipatuhi apabila Lim Guan Eng memegang jawatan ketua menteri selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

Oktober lalu, Chow dilaporkan mendakwa orang di dalam dan luar parti merancang menyingkirkannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang. Beliau kemudian berkata, ia disebabkan beberapa isu, khasnya penjualan tanah kepada syarikat swasta oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Beliau kemudian menarik balik dakwaan itu dan menyatakan dirinya hanya bercakap tentang keadaan sebelum PRN Ogos 2023.

Sebelum PRN, timbul khabar angin Chow tidak akan dilantik ketua menteri bagi penggal kedua dan Lim mungkin kembali memegang jawatan itu atau calon disokong ketua DAP akan mendapat jawatan berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.