
Pengumuman oleh Maimunah Mohd Sharif ini di sebalik kebimbangan orang ramai mengenai kejadian lubang benam di Jalan Masjid India pada Jumaat.
“Saya telah mempengerusikan mesyuarat bersama agensi sahabat sebentar tadi. Berdasarkan kepada maklumat yang saya perolehi daripada rakan-rakan yang hadir pada mesyuarat petang tadi, situasi sekitar Jalan Masjid India khasnya dan Kuala Lumpur amnya adalah terkawal dan warga kota boleh meneruskan rutin harian seperti biasa,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Semalam, peniaga di Jalan Masjid India yang ditemui FMT mahu kerajaan beri jaminan keselamatan memandangkan orang ramai takut melalui laluan tersebut.
Sejak beberapa hari lalu kehadiran pihak berkuasa dirasai di Jalan Masjid India ketika operasi mencari dan menyelamat dilancar untuk mengesan seorang wanita warga India yang terjatuh ke dalam lubang benam itu.

Di media sosial bagaimanapun tular dakwaan kononnya lubang benam gergasi berpotensi berlaku di Kuala Lumpur.
Maimunah mengingatkan bahawa Kuala Lumpur sudah lama dibina dan dalam tempoh itu selamat.
“Oleh itu kalau mengatakan tidak selamat mestilah ada menunjukkan bukti-bukti dan kajian-kajian yang terperinci,” katanya.
Dalam pada itu, Maimunah berkata pencarian mangsa diteruskan hari ini.
Waris mangsa yang berada di Malaysia akan dibantu dari segi penginapan, makanan, kaunseling, dan lanjutan visa, katanya.
Setakat ini mangsa masih belum ditemui dan pasukan penyelamat giat menjalankan pencarian.