Malaysia, India akan tingkat FTA, kata menteri

Malaysia, India akan tingkat FTA, kata menteri

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata ia akan meliputi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India yang dimeterai pada 2011.

TENGKU DATUK SERI ZAFRUL ABDUL AZIZ
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz berkata kementeriannya diberikan tiga bulan untuk mengemukakan maklum balas mengenai bidang ingin difokuskan dan parameter diperlukan bagi penaiktarafan itu. (Gambar Bernama)
NEW DELHI:
Malaysia dan India merancang meningkatkan hubungan ekonomi dua hala melalui perjanjian perdagangan bebas (FTA) dipertingkatkan susulan lawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke New Delhi baru-baru ini.

Dalam pertemuan mereka, Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi membincangkan kerjasama erat dalam beberapa bidang seperti ekonomi digital, pembuatan semikonduktor, kecerdasan buatan, infrastruktur, keterjaminan makanan dan pelancongan.

“Kami akan meningkatkan kerjasama yang ada kepada kerjasama lebih menyeluruh untuk merangkumi semua aspek ini,” kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz kepada Bernama.

Beliau berkata, Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) yang ditandatangani pada 2011 dan meliputi perdagangan serta pelaburan khasnya, akan dipertingkatkan.

“Kedua-dua perdana menteri memberi kami tiga bulan untuk memberikan maklum balas mengenai bidang ingin difokuskan dan parameter diperlukan bagi penaiktarafan tersebut,” katanya yang mengiringi Anwar dalam lawatan rasmi ke India.

Dalam lawatan itu, pelbagai topik dibincangkan antara Malaysia dan India yang turut mewujudkan peluang perniagaan berpotensi besar dalam teknologi baharu, tenaga boleh diperbaharui, kimia dan petrokimia serta pembangunan tenaga kerja.

Perdagangan antara Malaysia dan India mencatatkan USD16.5 bilion (USD1=RM4.372) tahun lepas.

India negara ke-11 terbesar Malaysia untuk eksport dan sumber import ke-12 terbesar.

Dalam trend perdagangan berubah, eksport produk elektrik dan elektronik Malaysia ke India meningkat secara ketara, manakala komoditi utama menurun daripada dua pertiga dua dekad lepas kepada satu pertiga daripada semua eksport ketika ini.

Begitu juga eksport India yang mempunyai komponen besar untuk barangan pertanian sebelum ini, kini mempunyai sejumlah besar produk petroleum dan barangan kejuruteraan.

Sektor semikonduktor mempunyai potensi besar untuk bekerjasama dengan India, kata Anwar dalam ucapannya pada Majlis Hal Ehwal Dunia India 20 Ogos lepas.

Anwar berkata, Malaysia pengeksport semikonduktor keenam terbesar dunia dan kepakaran negara terletak terutamanya pada pemasangan, ujian dan segmen pembungkusan dalam rantaian nilai semikonduktor, manakala keupayaan India dalam perisian yang hampir tiada tandingan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.