Bom lama ditemukan di Gemas

Bom lama ditemukan di Gemas

Bom itu ditemukan ketika kerja mengorek tanah di sebuah kawasan ladang.

Ketua Polis Tampin Amiruddien Sariman, berkata bom itu berjaya dimusnahkan petang tadi.
PETALING JAYA:
Sebutir objek menyerupai bom lama ditemukan di tapak projek Ladang F&N Agrivalley di Jalan Pasir Besar-Jelai dekat Gemas.

Ketua Polis Tampin Amiruddien Sariman, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan bahan letupan jenis Unexploded Ordnance (UXO) oleh seorang pekerja ladang itu pada kira-kira 4.50 petang semalam.

“Hasil dari maklumat itu, sepasukan polis dari Gemas dan Tampin pergi ke lokasi kejadian dan mendapati ada objek berkenaan.

“Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Negeri Sembilan dan UPB IPD Tampin dimaklumkan untuk tindakan pemusnahan,” katanya menurut Bernama.

Beliau berkata, tempat kejadian merupakan kawasan tapak projek diusahakan F&N Agrivalley sejak setahun lalu dan UXO itu dijumpai semasa kerja mengorek tanah meratakan tapak pembinaan.

Amiruddien berkata, siasatan awal mendapati UXO adalah daripada jenis Aerial Bom 1000lbs yang dilancarkan dari udara, berdasarkan penemuan ‘cuping penggantungan’ pada permukaannya dengan ukuran panjang 153cm dan ukur lilit 142cm.

“Setelah penilaian risiko, pasukan UPB Negeri Sembilan membuat persiapan bagi menjalankan tindakan pemusnahan UXO itu.

“Proses memusnahkan bom selesai pada 2.45 petang hari ini setelah tindakan pembersihan keselamatan dijalankan di sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada bahan letupan yang tertinggal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.