SAR mangsa lubang benam diperluas

SAR mangsa lubang benam diperluas

Polis berkata, operasi SAR membabitkan enam lurang pembetungan tidak boleh dijalankan serentak atas beberapa faktor keselamatan.

Operasi mencari dan menyelamat wanita warga India terjatuh lubang benam di Jalan Masjid India memasuki hari kedua. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India terjatuh lubang benam di Jalan Masjid India diperluaskan membabitkan enam lurang pembetung di sekitar ibu negara.

Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata ia membabitkan lurang pembetungan di depan Wisma Yakin, Jalan Melayu, persimpangan Jalan Melayu, Dataran Merdeka, Lebuh Pasar dan Bulatan Kinabalu.

“Jam 10.30 pagi tadi manhole (lurang pembetungan) di Wisma Yakin sudah dibuka dan seorang anggota bomba dah masuk, tetapi tidak menemui sebarang petunjuk.

“Kita dalam tindakan buat pencarian di manhole kedua di Jalan Melayu lebih kurang 100m dari manhole pertama,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, operasi secara berperingkat itu tidak boleh dijalankan serentak atas beberapa faktor keselamatan, dengan pengusaha premis di sekitar lokasi kejadian dinasihatkan menutup operasi sementara atas faktor sama.

Menurutnya, setakat ini, kawasan sekitar Jalan Masjid India masih selamat dikunjungi, tetapi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih menjalankan kajian lanjut berhubung struktur tanah.

“Kita akan gunakan kepakaran dan teknologi sedia ada daripada Indah Water Konsortium (IWK) dan bomba. Semalam kita guna K9 (anjing pengesan), tetapi setakat ini tiada hasil.”

Semalam, media melaporkan seorang pelancong dari India berusia 48 tahun dikhuatiri tertimbus dalam kejadian 8.22 pagi Jumaat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa dilaporkan berkata, pasukan SAR hanya menemui sepasang selipar milik mangsa dekat lokasi lubang benam selepas hampir 17 jam operasi SAR dijalankan semalam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.