MCA, MIC rakan penting Umno, namun perlu terima hakikat

MCA, MIC rakan penting Umno, namun perlu terima hakikat

Beberapa pemimpin Umno mahu MCA dan MIC ambil pendekatan menerima kerjasama dengan gabungan parti lain.

Presiden MCA Wee Ka Siong dan rakan sejawatan dari MIC, SA Vigneswaran, di Perhimpunan Agung Umno 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
KUALA LUMPUR:
Dalam usaha Umno menguatkan semula Barisan Nasional (BN), pemimpinnya berharap rakan komponen terutama MCA dan MIC menerima dinamik politik yang memerlukan kerjasama dengan parti lain.

Beberapa ahli majlis kerja tertinggi (MKT) Umno ditemui FMT pada perhimpunan tahunannya menganggap dua parti itu sebagai rakan penting dan tidak akan membiarkannya bersendirian berdepan cabaran politik masa kini.

Puad Zarkashi tidak menafikan dua parti itu sering berselisih pendapat dengan Umno, namun MCA dan MIC ‘sangat serasi’ dengan mereka dalam BN.

“Apa berlaku hari ini sebenarnya sama juga dalam Umno. Umno kalah PRU14, tetapi Umno teruskan perjuangan.

“Jadi, MCA dan MIC perlu ambil pendekatan yang sama dengan Umno maksudnya kena terima ini sebahagian proses pembetulan,” katanya kepada FMT, menyentuh kerjasama dengan Pakatan Harapan dalam kerajaan perpaduan.

PRU15 menyaksikan MCA hanya menang dua kerusi iaitu di Ayer Hitam (Wee Ka Siong) serta Tanjung Piai (Wee Jeck Seng) manakala MIC mengekalkan kemenangan di Tapah (M Saravanan).

Wee yang juga presiden MCA menjelaskan mereka tidak menganggotai Jemaah Menteri diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebaliknya mahu memainkan peranan ‘semak dan imbang’ dalam sistem demokrasi.

Presiden MIC SA Vigneswaran pula menyatakan sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada kerajaan perpaduan walaupun tidak diberikan sebarang jawatan selepas rombakan Jemaah Menteri pada Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut, Puad berkata MCA dan MIC tidak wajar terus berkecil hati dengan ketiadaan wakil dalam Jemaah Menteri, sebaliknya berazam mengukuhkan akar umbi dalam proses pemulihan ini.

Adun Rengit itu turut mengingatkan Umno tidak mempunyai kuasa mutlak dalam melantik wakil komponen BN, sebaliknya di tangan Pengerusi PH Anwar Ibrahim selaku perdana menteri.

“Cuma negeri-negeri yang Umno ada kuasa, sudah tentu MCA dan MIC ada tempat.

“Untuk kerajaan pusat, kuasa di tangan PM jadi harap MCA dan MIC perlu bertabah,” katanya.

Lokman Adam pula berkata sekiranya MCA dan MIC berhajat untuk berada dalam kerajaan perpaduan, mereka sepatutnya perlu memperlihatkan parti itu sebagai ‘team player’, bukannya terus menyerang.

“Mereka mempunyai kemampuan untuk menguatkan kerajaan perpaduan, setidaknya-tidaknya kuatkan BN jika tak nak bantu PH sekali pun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.