
Pameran sehingga 5 Sept depan itu dianjurkan Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) dan Jabatan Keretapi Sabah.
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Sutera Harbour Resort.
Menerusi inisiatif itu, PNM telah mengangkat kandungan pameran manuskrip Melayu, u-Pustaka, bahan-bahan terbitan PNS berkaitan kemerdekaan dan sejarah serta warisan budaya di Sabah.
Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang yang menyempurnakan majlis itu berkata menerusi pameran berkenaan orang ramai boleh menyaksikan bagaimana teknologi digunakan untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran.
“Penggunaan teknologi realiti maya (VR) dan realiti tambahan (AR) dalam pameran ini telah memberikan pengalaman luar biasa kepada pengunjung terutama generasi muda,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut yakin pengalaman menaiki kereta api dari stesen Tanjung Aru ke Papar yang diserikan keindahan alam semulajadi telah mencetuskan minat mendalam di kalangan pengunjung untuk mendalami warisan budaya.
Menurutnya, program itu juga selari fokus PNM untuk menyokong pembelajaran sepanjang hayat ke arah dan menjadikan Malaysia sebagai negara pembaca menjelang 2030.
“PNM telah membuat perolehan sekurang-kurangnya 6 juta bahan termasuk bahan bercetak, digital dan manuskrip Melayu dalam usaha menyediakan pelbagai bahan bacaan kepada orang awam,” katanya.