
Ketua BN Perak itu menyifatkan usaha menarik sekurang-kurangnya empat Adun untuk mencukupkan majoriti 30 kerusi diperlukan pembangkang bagi mengambil alih pentadbiran negeri sia-sia atas pelbagai faktor termasuk denda RM50 juta jika wakil rakyatnya mengalihkan sokongan.
“Daripada sembilan (Adun BN) ini, ada empat dalam exco termasuk saya, jadi ada lima tiada jawatan dengan lawan beranggapan kalau boleh hasut empat (daripadanya) masuk (sokong PN),” katanya dalam temubual dengan media di tepian Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 malam tadi.
“Adun BN kalau melompat ke sana kena bayar RM50 juta, ada akta antilompat parti yang perlu mereka patuhi. Nampaknya mereka boleh fahamlah, tunggulah (sehingga habis penggal).
“Saya pun dah jumpa kelima-limanya, ini (beralih sokongan) tak mungkin berlaku,” katanya mengulas khabar angin kejatuhan kerajaan BN-Pakatan Harapan (PH) kerap dimainkan pembangkang.
Disember tahun lalu, Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria mendedahkan ada gerakan menumbangkan kerajaan negeri susulan pertemuannya dengan Adun kerajaan, sebelum menukar nada ‘ia hanya perjumpaan biasa untuk bertukar fikiran’.
Bagaimanapun, Adun Hulu Kinta Muhamad Arafat Varisai Mahamad daripada PKR pula mendakwa sekurang-kurangnya tiga Adun pembangkang bakal menyokong kerajaan negeri PH-BN namun enggan mendedahkan identitinya.
Pun begitu, tiada Adun mengalihkan sokongan kepada BN-PH atau PN sehingga kini.
BN-PH membentuk kerajaan perpaduan di Perak pasca PRU15 dengan sokongan 33 Adun manakala PN pula menguasai 26 daripada 59 kerusi.
Selain Saarani menjadi menteri besar, tiga Adun BN dilantik exco kerajaan negeri manakala tujuh daripada PH dengan pecahan DAP (4), PKR (3) dan Amanah (1).
DAP tak kacau
Di sebalik jumlah wakil rakyat DAP yang lebih ramai, Saarani berkata perjalanan mesyuarat lancar dan tidak pernah dibatalkan kecuali cuti, berbeza dakwaan ketika era pentadbiran Ahmad Faizal Azumu (Bersatu) dari 2018 hingga 2020.
“Hampir 20 bulan bersama tiada masalah sehingga mesyuarat exco gagal dibuat kerana bantahan DAP. Ini menunjukkan PH-BN boleh berkawan dan DAP tidak langsung cuba mengawal walaupun paling ramai wakil,” katanya.
Beliau berkata, persefahaman antara BN-PH juga dapat dilihat apabila pemimpin DAP Perak yang sebelum ini sering mencetuskan kontroversi seperti Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham menarik balik cadangan mereka selepas mendapat kritikan termasuk daripada Umno.
“Telahan dan kebimbangan orang Melayu sebelum ini tidak berlaku (DAP kuasai kerajaan dan ancam Melayu), sebab empat asas penubuhan kerjasama dengan PH tidak ada kompromi.
“Pertama Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu jadi bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan raja-raja Melayu…itu tiada kompromi,” katanya menjelaskan perkara sama dipersetujui di Perak.
Tegasnya, persefahaman itu turut membawa manfaat kepada rakyat apabila perancangan kerajaan negeri terutama bawah Perak Sejahtera 2030 yang memfokuskan pembangunan pelbagai industri mewujudkan ribuan pekerjaan berjalan lancar.