
Jumlah itu dua kali ganda lebih besar berbanding diterima mereka ketika memenangi pingat gangsa di Tokyo 2020 iaitu RM120,000 berkongsi dua orang.
Aaron berkata, mereka sangat menghargai jasa dan sokongan diberikan BAM dan Presiden Mohamad Norza Zakaria sepanjang perjalanan mewakili negara.
“Kami berterima kasih kepada BAM atas kegembiraan dan menyokong sepanjang perjuangan kami dan atas ganjaran hari ini, dan terima kasih teristimewa buat Norza, kami telah melaluinya seperti rakan niaga dengan beliau, mereka tetap memberikan sokongan penuh tidak kira masa senang dan susah.
“Beliau memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. Kami sangat menghargai apa yang dilakukan BAM untuk kami, kami akan terus berjuang untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas menerima ganjaran berkenaan di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Pada masa sama, beliau turut berharap habuan diterima itu mampu menjadi tonik tambahan buat mereka terus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Terdahulu, barisan kejurulatihan dan staf sokongan BAM menerima rangsangan berjumlah RM60,000 daripada badan induk berkenaan susulan kecemerlangan Aaron-Wooi Yik.
Pada Paris 2024, beregu nombor tiga dunia itu mempertahankan pingat gangsa selepas menewaskan pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19, manakala Zii Jia meraih gangsa dengan menewaskan Lashya Sen dari India 13-21, 21-16, 21-11 dalam aksi perseorangan.
Juara Dunia 2022 itu semalam menandatangani kontrak untuk kekal bawah naungan BAM hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028).