Pilih yang ‘tiada calar’, akar umbi Umno setuju perkenal calon PRU awal

Pilih yang ‘tiada calar’, akar umbi Umno setuju perkenal calon PRU awal

Mereka berpendapat langkah itu memberi kelebihan untuk mendekati pengundi lebih awal dan menyantuni mereka dengan lebih baik.

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO
Langkah memperkenalkan calon PRU16 lebih awal dapat melancarkan persediaan selain memudahkan penerimaan penduduk setempat, kata beberapa perwakilan Umno.
KUALA LUMPUR:
Sungguhpun penggal pentadbiran kerajaan semasa hanya berakhir 2027, namun telah kedengaran suara meminta Umno memperkenalkan calon berpotensi PRU16 dari sekarang.

Beberapa perwakilan ditemui FMT pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 berpendapat langkah itu mampu mendekati pengundi lebih awal, selain mewujudkan ‘personal touch’ antara bakal ‘Yang Berkhidmat’ dan penduduk setempat.

Bagaimanapun, mereka mahu proses pemilihan calon dibuat dengan cermat.

Mohd Syahbuddin Hashim.

Timbalan Ketua Umno Gua Musang Mohd Syahbuddin Hashim berkata pemilihan calon penting kerana lazimnya dapat mencorakkan suasana jentera berdepan pilihan raya sama ada bertambah semangat atau lesu.

“Pemilihan awal salah satu strategi baik seperti di Nenggiri baru-baru ini, beri ruang kepada calon (Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani) turun seberapa banyak tempat yang boleh.

“Kena pilih yang tiada calar (ada rekod baik), selain itu bila umum awal calon dapat sedia dari segi stamina… biasa ada masalah itu pada musim pilihan raya menyebabkan tak dapat santuni banyak tempat,” kata Adun Galas itu.

Jun lalu, Naib Presiden Umno Johari Abdul Ghani mencadangkan parti itu mengenal pasti pemimpin boleh diangkat sebagai calon PRU akan datang dari sekarang supaya mereka boleh mula menabur bakti dan mengenali pengundi di kawasan masing-masing dengan lebih baik.

Menurutnya, pendekatan itu boleh menjadi kaedah tapisan awal untuk memastikan calon dipilih adalah tepat dan betul-betul dikenali, serta diterima pengundi setempat.

Rozilan Salleh.

Timbalan Ketua Umno Jerantut Rozilan Salleh pula berpendapat memperkenalkan calon lebih awal dapat melancarkan persediaan, namun parti perlu mempunyai rancangan lain sekiranya timbul masalah luar jangka.

“Macam PRK mungkin berbeza bila kita umum calon lebih awal dari biasa, tetapi PRU kena bergantung kepada kajian serta analisis,” ujarnya.

Muhammad Faiz Azizan.

Sementara itu, Naib Pemuda Padang Besar Muhammad Faiz Azizan bersetuju dengan gesaan itu bagi membolehkan calon mengenal pasti masalah di setiap kawasan lebih awal dan menyantuninya.

“Macam strategi sekarang (umum calon saat akhir), tak cukup 14 hari (tempoh berkempen), masanya singkat untuk jumpa seramai pengundi,” katanya.

Syaidatul Najeerah Ahmad Zamzuri.

Perwakilan Puteri Umno Selayang Syaidatul Najeerah Ahmad Zamzuri pula meminta parti mempertimbangkan meletak lebih ramai calon muda untuk menarik semula sokongan komuniti itu.

“Bila umum awal jentera boleh turun segera dan kita bantu yakinkan anak muda jangan takut dengan Umno sekali gus perbetulkan tanggapan buruk terhadap parti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.