Lelaki Itali didakwa curi ubat di KLIA

Lelaki Itali didakwa curi ubat di KLIA

Lelaki berusia 58 tahun didakwa mencuri ubat bernilai RM80 di sebuah premis di Terminal 2 KLIA pada 19 Ogos lalu.

Maurizio Losi
Warga Itali, Maurizio Losi didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas tuduhan mencuri ubatan bernilai RM80 di sebuah premis penjagaan kesihatan di Terminal 2 KLIA pada 19 Ogos lalu. (Gambar Bernama)
SEPANG:
Seorang lelaki warga Itali didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mencuri ubat-ubatan di sebuah premis produk penjagaan kesihatan dan kecantikan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 19 Ogos lepas.

Maurizio Losi mengangguk faham di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Inggeris, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, lelaki berusia 58 tahun itu didapati mencuri sekotak ubat jenis Fluimucila dan Gaviscon yang dianggarkan bernilai RM80 di premis yang terletak di Terminal 2 KLIA kira-kira pukul 5.20 petang pada 19 Ogos.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun, namun tertuduh tidak memahami akta terbabit.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ain Madihah Zulkifli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 4 Sept ini sebagai sebutan semula kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.