Keputusan representasi Rosmah gugur 17 tuduhan 6 Sept

Keputusan representasi Rosmah gugur 17 tuduhan 6 Sept

Peguam berkata kertas kerja berkaitan sedang dimuktamadkan sebelum diserah kepada Jabatan Peguam Negara.

rosmah
Rosmah Mansor dibicarakan atas 12 tuduhan berkaitan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. (Gambar Bernama)

kapsyen: Rosmah Mansor dibicarakan atas 12 tuduhan berkaitan pengubahan wang haram lebih RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Keputusan berhubung representasi ketiga yang dikemukakan oleh isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor kepada Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan 17 pertuduhan yang dihadapinya, akan diketahui pada 6 Sept.

Dua belas daripada pertuduhan itu berkaitan pengubahan wang haram yang melibatkan lebih RM7 juta, manakala lima lagi pertuduhan berkaitan kegagalannya mengisytiharkan pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Peguam Rosmah, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memberitahu hakim perbicaraan K Muniandy bahawa satu persetujuan dicapai berhubung representasi yang dihantar oleh anak guamnya itu, dan kini hanya menunggu kertas kerja untuk dimuktamadkan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib dalam responsnya mengesahkan bahawa representasi itu sudah hampir dimuktamadkan.

“Ia hanya menunggu dokumentasi sebelum kita boleh teruskan dengan perintah mahkamah,” katanya.

Muniandy kemudian menetapkan 6 Sept bagi kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai keputusan muktamad.

Ini merupakan representasi ketiga yang dihantar oleh Rosmah. Representasi pertama dan keduanya dihantar masing-masing pada 3 Mei dan 18 Ogos tahun lepas, namun ia masih belum diputuskan oleh AGC.

Isteri Najib Razak itu turut memfailkan permohonan untuk dibebas dan dilepaskan daripada semua 17 pertuduhan itu pada 4 Okt 2020.

Rosmah, 72, didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di Kuala Lumpur dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Setakat ini dua saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan, yang bermula pada 24 Ogos tahun lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.