Daftar kahwin pelarian Islam dibincang dalam mesyuarat MKI

Daftar kahwin pelarian Islam dibincang dalam mesyuarat MKI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata berkata kertas cadangan melibatkan pelarian Rohingya, Syria dan Palestin itu dibawa bersama Jakim dan MKN.

na'im
Mohd Na’im Mokhtar berkata kertas cadangan mengenai perkara itu akan dibawa semula ke mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia akan datang untuk meneliti semua aspek termasuk keselamatan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pendaftaran perkahwinan bagi pelarian beragama Islam di negara ini antara yang dibincangkan di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia (MKI) ke-72 di sini, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar, berkata kertas cadangan melibatkan pelarian Rohingya, Syria dan Palestin itu dibawa bersamaJabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita dimaklumkan ada sekitar 190,000 pelarian di negara kita…contohnya antara (pelarian) Rohingya, mereka ini berkahwin tetapi tidak ada dokumen perkahwinan.

“(Apabila) anak (mereka) lahir dan duduk di Malaysia, timbul masalah sosial. Jadi, di situ ada keperluan untuk memastikan perkahwinan mereka ini didaftarkan di negara kita,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah selaku pengerusi MKI dan turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga timbalan pengerusi MKI.

Bagaimanapun, Na’im berkata mesyuarat itu menangguhkan perbincangan berkaitan pendaftaran perkahwinan pelarian berkenaan atas faktor isu sensitif khususnya dalam konteks keselamatan.

Beliau berkata kertas cadangan mengenai perkara itu akan dibawa semula ke mesyuarat MKI akan datang yang dijangka berlangsung pada November atau Disember ini.

“Keputusan mesyuarat tadi supaya kertas cadangan itu ditangguhkan untuk diharmonikan (dan) tengok daripada semua aspek termasuk keselamatan…sebab selepas perkahwinan didaftarkan, mereka (pelarian) akan layak untuk terima sesuatu keistimewaan.

“Selepas MKI berikan persetujuan, (perkara itu) akan dibawa ke Majlis Raja-Raja untuk dapat perkenan,” katanya.

Sementara itu, Na’im berkata enam individu dilantik sebagai ahli MKI dalam mesyuarat hari ini antaranya Pengerusi Bursa Malaysia Abdul Wahid Omar, Pengerusi Majlis Pimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) Azman Mokhtar dan Ahli Dewan Negara Salehuddin Saidin.

Beliau berkata mereka yang dilantik itu memiliki kepakaran dalam bidang masing-masing seperti ekonomi dan undang-undang bagi mengukuhkan peranan MKI.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.