
Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, BN tidak mahu hilang sokongan orang Melayu jika menggunakan logo sama dengan PH, selepas parti itu mula kembali diterima rakyat apabila berjaya merampas kembali DUN Nenggiri dari PAS.
“Ia benar (BN bimbang ditolak Melayu jika guna logo sama dengan PH dalam PRU). Saya melihat ini lebih kepada ‘ujian litmus’ bagi BN itu sendiri untuk mengukur tahap sokongan mereka di kalangan pengundi Melayu,” katanya kepada FMT.
“Memandangkan BN sudah berjaya menyakinkan pengundi di Nenggiri maka tidak mustahil mereka akan menawarkan formula politik lebih menyakinkan di PRK Mahkota dan PRU16 nanti.
“Saya melihat BN lebih mementingkan ketampakan parti itu dan itu adalah strategi untuk membuktikan bahawa Umno sudah bersedia membentuk dan mengolah naratif baharu yang lebih berorientasikan rakyat.”
Bagaimanapun, Ariff berpendapat kemenangan BN di Nenggiri bukanlah gambaran sokongan orang Melayu terhadap parti itu telah pulih sepenuhnya dan masih belum mampu untuk bergerak solo.
“Kemenangan di Nenggiri sebagai satu tiang asas kembali mendapat keyakinan rakyat dan ini adalah satu proses yang memakan masa yang lama kerana kepercayaan politik itu tidak boleh dibentuk dengan mudah kerana ia perlu didatangi sekali dengan prestasi yang memuaskan.
“Saya tidak melihat bahawa BN mahu bergerak solo sepenuhnya kerana parti itu masih lagi memerlukan rakan politik lain seperti PH untuk kekal relevan terutama sekali di kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu,” katanya.
Sementara itu, Rusdi Omar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) turut senada dengan Ariff bahawa Umno dan BN masih memerlukan kerjasama PH dan ia gabungan yang terbaik ketika ini jika mahu kekal mentadbir Putrajaya selepas PRU16.
“BN atau PH tak mampu untuk bergerak solo dalam keadaan politik Malaysia ketika ini. BN, PH akan menempah maut kalau memutuskan bergerak solo. Kalau mereka bergerak solo, peluang cerah untuk Perikatan Nasional (PN) bentuk kerajaan pusat,” katanya.
Azmil Tayeb dari Universiti Sains Malaysia pula berpandangan bukan suatu yang pelik apabila BN menggunakan lambang sendiri memandangkan PAS sebelum ini menggunakan lambang ‘bulan’ di Kelantan dan Terengganu pada pilihan raya lalu.
Pada Rabu, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan menggunakan lambang ‘dacing’ pada PRU16, walaupun sebelum ini ada pandangan supaya ia menggunakan ‘keris’ pada pilihan raya akan datang.
Beliau yang juga pengerusi BN berkata, persetujuan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pimpinan dan akar umbi.