SD tak jamin jawatan PM, Salleh beritahu Muhyiddin

SD tak jamin jawatan PM, Salleh beritahu Muhyiddin

Bekas ketua menteri Sabah itu berkata, SD berkenaan harus disahkan oleh Ahli Parlimen berkenaan.

Salleh Said Keruak berkata, SD tidak boleh diterima atas nilai lahiriahnya kerana ia tidak menjamin sokongan Ahli Parlimen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang tokoh Umno berkata, 115 akuan berkanun oleh Ahli Parlimen yang kononnya menyokong Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri, tidak menjamin pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dapat dilantik menyandang jawatan tertinggi negara itu.

Salleh Said Keruak, yang juga Adun Usukan berkata, SD tidak boleh diterima atas nilai lahiriahnya kerana ia tidak menjamin sokongan Ahli Parlimen.

“(Ahli Parlimen) perlu hadir untuk mengesahkan ketulenan (SD), bahawa sokongan mereka tulen dan benar,” kata bekas ketua menteri Sabah itu di Facebook.

“Justeru, Muhyiddin mesti memanggil Ahli-ahli Parlimen bukan PN, yang didakwanya menandatangani SD tersebut, untuk mengesahkan secara lisan dan terbuka bahawa mereka menyokong (beliau) selepas PRU15.

“Jika Muhyiddin yakin SD tersebut tulen, beliau patut tidak takut memanggil Ahli-ahli Parlimen berkenaan tampil untuk mengesahkan sokongan mereka di khalayak umum.”

Pagi ini, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi turut mencabar Muhyiddin memanggil Ahli Parlimen bukan PN yang kononnya menandatangani SD tersebut tampil.

“Itu (serah SD kepada polis) tidak memadai. Perlu pengakuan lisan secara terbuka oleh Ahli Parlimen bukan daripada PN. Itu cara membuktikan 115 SD tersebut tulen,” katanya.

Muhyiddin sedang disiasat polis berhubung ucapannya ketika kempen PRK Nenggiri apabila beliau mempersoalkan mengapa beliau tidak dipelawa oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menjadi perdana menteri selepas PRU15.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau memperoleh majoriti mudah dan mendapat sokongan Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah turut menyatakan rasa murka dan terkilan terhadap kenyataan Muhyiddin itu, justeru menggesa polis mengambil tindakan yang tegas tanpa kompromi.

Muhyiddin bagaimanapun mempertahankan ucapannya dengan berkata, ia ‘kenyataan fakta’, bukan bermaksud ‘menghina institusi raja atau menimbulkan kecenderungan menghasut’.

Semalam, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen untuk membantu siasatan polis, dikatakan termasuk 115 SD ditandatangani Ahli Parlimen yang menyokongnya selepas PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.