Pengurus rugi lebih RM200,000 ditipu dalam urusan jual beli balak

Pengurus rugi lebih RM200,000 ditipu dalam urusan jual beli balak

Mangsa berusia 38 tahun itu tertipu dengan surat pengesahan Felcra Bhd yang rupa-rupanya palsu.

timber kayu balak
Suspek mendakwa Felcra Bhd bersetuju meluluskan urusan jual beli saki-baki kayu balak di satu kawasan. (Gambar Bernama)
KUALA TERENGGANU:
Seorang pengurus syarikat kontraktor pembalakan kerugian RM238,000 selepas ditipu dua lelaki yang menjalankan urus niaga jual beli kayu balak sejak dua tahun lepas.

Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor berkata, kejadian bermula pada 21 Ogos 2022 apabila mangsa ditawarkan membeli kayu balak dengan harga RM450,000.

Beliau berkata, suspek mendakwa penjualan tersebut mendapat kebenaran Felcra Bhd, yang didakwa bersetuju meluluskan urusan jual beli saki-baki kayu balak di satu kawasan.

“Mangsa dibawa ke kawasan pembalakan untuk melihat sendiri komoditi tersebut, sekali gus menambahkan kepercayaan beliau terhadap suspek,” katanya.

“Suspek menawarkan mangsa untuk membuat pembayaran secara berperingkat. Mangsa memindahkan wang sebanyak RM238,000 ke akaun berasingan milik dua suspek.”

Selain itu, Azli berkata, mangsa dan dua suspek juga pergi ke pejabat guaman untuk membuat surat perjanjian.

Bagaimanapun, pada 2023, mangsa dihubungi oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu yang memaklumkan surat pengesahan yang didakwa dikeluarkan oleh Felcra Bhd adalah palsu.

“Mangsa yang berusia 38 tahun berhubung dengan suspek yang dikenali untuk menuntut semula wang tersebut, tetapi tidak dilayan,” katanya.

“Mangsa mengambil masa yang lama untuk membuat laporan kerana masih lagi ingin menyelesaikan cara baik. Bagaimanapun, keengganan suspek menyebabkan mangsa berasa tertipu dan membuat laporan polis semalam.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.