
Perwakilan ditemui pada hari pertama Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Johari Abdul Ghani kelmarin bahawa terlalu awal untuk membuat penilaian terhadap aspek itu.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Kuala Langat, Khaidir Baharuddin, berkata kemenangan calon Barisan Nasional (BN) Azmawi Fikri Abdul Ghani minggu lalu bukan ukuran muktamad dan parti masih perlu bekerja keras hingga PRU16.
Berdepan ujian pada PRU14 dan PRU15 dengan mencatat prestasi kurang memberangsangkan, Khaidir berkata Umno perlu mengambil satu langkah ke hadapan berbanding lawan untuk kekal relevan serta diterima rakyat.
“Kita tunggu dulu dan lihat prestasi PRK ditandingi Umno selepas ini,” katanya kepada FMT.

Seorang ahli Umno Sepanggar, Latifah Abdullah, pula berpandangan parti masih perlu bekerja keras dan tidak terlalu awal meraikan kemenangan di Nenggiri walaupun dianggap manis kerana merampas kerusi lawan di negeri ditadbir PAS.
Namun, Latifah berkata kemenangan itu menggambarkan proses pemulihan sudah bermula dan Umno masih diterima rakyat.
“Semua ahli kena berusaha untuk pastikan Umno kembali diterima rakyat dan terus jadi tulang belakang dalam perjuangan parti,” katanya.

Bagaimanapun, Bendahari Puteri Umno Tanah Merah, Amelia Mohd Zaid, berpendapat kemenangan Azmawi membuktikan pengundi mengiktiraf usaha BN meletakkan calon dikenali dan berkredibiliti.
Menurutnya, pendekatan seperti itu perlu diperluaskan di tempat lain bagi memastikan calon Umno dan BN diterima pengundi sekali gus diterjemah kepada sokongan.
“Azmawi sudah dikenali di Gua Musang, telah berkhidmat sejak 2019 lagi, terbabit NGO dan dikenali penduduk…jadi orang mesti sokong,” katanya.