
Azeem Fazwan Ahmad Farouk daripada Universiti Sains Malaysia berkata, respons Chow mengejutkan kerana beliau sebagai penyandang sepatutnya tahu sama ada boleh memenuhi syarat minimum dicalonkan oleh dua cawangan bahagian negeri, atau tidak.
Pada Isnin, Chow memberitahu pemberita, beliau tidak pasti sama ada akan bertanding untuk jawatan itu kerana tidak tahu sama ada beliau dapat memenuhi syarat pencalonan tersebut atau tidak.
Chow menerajui DAP Pulau Pinang sejak 1999 dan menjadi naib pengerusi kebangsaan parti itu sejak 2004.
Pemilihan parti DAP Pulau Pinang akan diadakan pada 22 Sept.
Azeem berkata, ketidakpastian Chow mungkin dilihat sebagai kelemahan kerana ia mencadangkan beliau tidak pasti sama ada mampu mendapat sokongan dalam parti atau tidak.
“DAP mahu menegaskan semula kuasa mereka ke atas kerajaan Pulau Pinang. Jika Chow tidak memperoleh undi yang mencukupi dalam pemilihan parti, beliau mungkin diminta meletak jawatan sebagai ketua menteri.
“Untuk terus menjadi ketua menteri dengan sokongan yang sedikit akan buat beliau kelihatan lemah. Terpulang kepada DUN nanti untuk putuskan sama ada beliau diyakini (mampu terus menerajui kerajaan negeri).
“Wakil rakyat DAP lain mungkin menyingkirkannya (Chow) disebabkan jumlah yang mereka ada dalam DUN. Ini sekadar permainan kuasa,” katanya.
Azeem berkata, walaupun setiausaha agung parti, Loke Siew Fook mengumumkan pada PRN tahun lepas bahawa Chow tidak akan diganti, mungkin wujud muslihat dalam kalangan ahli parti yang tidak menyokong kepimpinannya.
Katanya, bekas ketua menteri Lim Guan Eng masih menjadi tokoh yang mampu mempengaruhi undian ahli parti.
Bagaimanapun, Azeem tidak menjangkakan sikap berpuak-puak dalam DAP akan melemahkan cengkaman parti itu di negeri itu, yang kini masuk penggal keempat. Walaupun Chow tersingkir, kuasa parti itu di Pulau Pinang masih meluas, katanya.
Beliau berkata, situasi DAP tidak serupa dengan perbalahan yang menyebabkan Gerakan kehilangan kuasa di negeri itu pada PRU 2008.
“Menjelang hujung penggal ketiga mereka, Gerakan tidak mempunyai kuasa kukuh di negeri itu, kerana berkongsi dengan Umno yang mempunyai lebih banyak kerusi.
“Hari ini, parti Melayu (Bersatu dan PAS) menjadi pembangkang, dan PKR tidak sekuat Umno. (Kedudukan) DAP masih kukuh,” katanya.
DAP memerintah Pulau Pinang sejak 2008 dan kini memegang 19 daripada 40 kerusi DUN.
James Chin daripada Universiti Tasmania berkata, had tidak rasmi selama dua penggal bagi wakil DAP memegang jawatan kepimpinan mungkin menyaksikan Chow beransur-ansur diketepikan menjelang PRN akan datang.
Chow, yang kini berkhidmat dalam penggal keduanya sebagai ketua menteri, dilantik pada 2018.
“Kepimpinan DAP mungkin merasakan sudah tiba masanya untuk muka baharu (ditonjolkan) di Pulau Pinang, terutamanya dengan konflik yang kononnya wujud antara Lim dan Chow,” kata Chin.
Tambahnya, Chow pernah dikritik suatu masa dahulu kerana dilihat kurang dinamik berbanding pendahulunya.