
Penonton juga tidak dibenarkan berada di belakang skrin pemarkahan.
Ketua Delegasi Teknikal Sukan Silat SUKMA 2024, Kamarul Ariffin A Latib berkata perkara itu diputuskan jawatankuasa teknikal dan keselamatan dalam satu perbincangan hari ini.
“Mengambil kira penyokong datang dari jauh selain keadaan yang sudah terkawal serta demi memeriahkan suasana Sukma, jawatankuasa kembali membenarkan penonton untuk masuk,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Miri.
“Kontinjen bertanding berada di tempat yang ditetapkan supaya tidak bercampur dengan penonton,” katanya sambil menambah kawalan ketat oleh pihak berkuasa tetap dilaksanakan bagi memastikan keselamatan di luar dan dalam venue terjamin.
Terdahulu, saingan acara silat Sukma 2024 diputuskan berlangsung tanpa kehadiran penonton hari ini dan esok susulan insiden membaling objek dipercayai botol air ke dalam gelanggang semasa acara Putri bawah 45kg membabitkan pesilat Sarawak Iman Syakilla Mahdi dan Wilayah Persekutuan Nurin Alyaa Damia Mohd Masran.
Insiden itu difahamkan mempunyai kaitan dengan sistem pemarkahan dipapar di skrin sekali gus menimbulkan ketidakpuasan hati penonton.