‘Hari gelap untuk saya’, Yasin ulas hukuman penjara seumur hidup

‘Hari gelap untuk saya’, Yasin ulas hukuman penjara seumur hidup

Penyanyi Yasin Sulaiman turut dijatuhkan hukuman 16 sebatan selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan Yasin Sulaiman. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan ke atas komposer dan penyanyi Yasin Sulaiman yang didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah.

Hakim Norsharidah Awang menjatuhkan hukuman itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin melepas dan membebaskan Yasin.

Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh diperkenankan Sultan Selangor.

“Hari ini hari yang gelap untuk saya,” kata Yasin yang digari polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang menurut Berita Harian.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.

Berdasarkan pertuduhan pertama baharu, Yasin didakwa memiliki 193.7g kanabis di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada 5.30 petang 24 Mac 2022.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) ADB yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh disebat tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung di tempat, waktu dan tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada 11.05 malam tarikh sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) ADB dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.