
Dr Andrew Mohanraj, presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, mengakui individu didiagnosis gangguan psikiatri mungkin tidak terlepas daripada salah laku secara automatik, tetapi hukuman boleh diringankan dengan belas kasihan.
“Jika dia mengalami penyakit mental, mahkamah boleh mengarahkannya menerima rawatan psikiatri sementara menunggu keputusan muktamad (mana-mana kes jenayah dihadapinya),” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, walaupun didapati layak dibicarakan dan disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengarahkan tertuduh menjalani hukuman di kemudahan psikiatri.
Minggu lalu, seorang wanita 31 tahun yang disyaki mengalami masalah kesihatan mental ditahan dekat Jalan Austin Heights Utama, Johor Bahru, selepas video tular di media sosial didakwa menunjukkan dia menyamar hantu menakutkan pengguna jalan raya.
Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat dilaporkan berkata, wanita itu akan cuba menendang kenderaan bagi menuntut pampasan atas kecederaan palsu.
Sinar Harian melaporkan wanita itu dimasukkan ke zon kuning Hospital Sultan Ismail (HSI) dua kali kerana kemalangan dan kemurungan.
Raub berkata, polis merujuk wanita itu ke HSI untuk penilaian kesihatan mental lanjut.
Sementara itu, Presiden Relate Mental Health Malaysia, Dr Chua Sook Ning, berkata sebarang tindakan jenayah diambil ke atas wanita itu perlu mengambil kira penilaian pakar perubatan terhadap kesihatan mentalnya.
“Jika tingkah lakunya disebabkan penyakit mental, bantuan psikiatri segera akan memberi manfaat kepadanya,” katanya sambil menambah memenjarakan wanita itu tanpa sokongan psikiatri boleh memburukkan keadaannya.
Menurutnya, terdapat keperluan untuk perkhidmatan kesihatan mental berasaskan komuniti yang boleh diakses dan berkesan serta sokongan buat individu mengalami penyakit mental, bahkan gelandangan.