4 didakwa edar 59.5kg dadah

4 didakwa edar 59.5kg dadah

Mereka secara bersama-sama didapati mengedar dadah berbahaya jenis MDMA di Pangsapuri Residensi Puncak, Jalan Dato Abdullah Tahir, 12 Ogos lepas.

Tertuduh, Chu Chien Yaeh, 36, Lo Shaw Jie, 26, S Jiveen, 39, dan Pui Wei Hao, 31, didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan mengedar 59.5kg dadah jenis MDMA. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 59.5kg dadah jenis MDMA, 12 Ogos lepas.

Chu Chien Yaeh, 36, Lo Shaw Jie, 26, S Jiveen, 39, dan Pui Wei Hao, 31, mengangguk faham di hadapan Majistret R Salini selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin dan bahasa Melayu, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, keempat-empat mereka secara bersama-sama didapati mengedar dadah berbahaya jenis MDMA dengan berat kasar 59,581 gram di Pangsapuri Residensi Puncak, Jalan Dato Abdullah Tahir, Taman Abad, di sini, kira-kira 12.30 pagi pada 12 Ogos lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman yang diberikan oleh mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameerah Allaudeen manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 20 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula bagi menunggu laporan kimia.

Isnin lepas, Ketua Polis Johor M Kumar dilaporkan berkata pihaknya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang menyewa rumah inap secara bulanan bagi menjalankan kegiatan memproses dan membungkus dadah.

Beliau berkata polis melakukan tiga serbuan berbeza di bandar raya ini dan Seri Alam dekat sini, yang membawa kepada penahanan tujuh anggota sindiket bersama sejumlah dadah bernilai lebih RM10 juta.

Kumar juga berkata dalang sindiket itu masih bebas namun sudah dikenal pasti sebagai Lo Show Shang, 36, dan sedang diburu pihaknya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.