Umno guna lambang dacing pada PRU16

Umno guna lambang dacing pada PRU16

Bagaimanapun Umno dan BN tidak menolak bekerjasama dengan 18 parti dalam kerajaan perpaduan bagi mengelakkan pertindihan kerusi.

BN FLAG
Presiden Zahid Hamidi berkata persetujuan lambang dacing digunakan Umno pada PRU16 dibuat selepas mengambil kira pandangan pimpinan dan akar umbi.
KUALA LUMPUR:
Presiden Umno Zahid Hamidi berkata parti itu akan menggunakan lambang ‘dacing’ pada PRU16, walaupun sebelum ini ada pandangan supaya ia menggunakan ‘keris’ pada pilihan raya akan datang.

Beliau yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, persetujuan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pimpinan dan akar umbi.

Bagaimanapun, Zahid berkata Umno tidak menolak bekerjasama dengan 18 parti dalam kerajaan perpaduan pada PRU16, supaya tidak berlaku pertindihan kerusi antara satu sama lain.

“Saya setuju saranan kepimpinan akar umbi dalam PRU akan datang harus gunakan lambang dacing. Namun tak menolak kolaborasi dengan 18 parti dalam kerajaan perpaduan supaya tak berlaku pertindihan kerusi dan kerjasama gamit sokongan pengundi pelbagai kaum.

“Mesti lakukan sekarang kita tak mahu keserasian hanya ketika PRU. Itu lima tahap pesanan saya berikan,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat presiden pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Pada Ogos tahun lalu, Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said menerusi catatan di Facebook membangkitkan persoalan adakah sudah tiba masa untuk Umno bertanding atas tiket parti itu pada pilihan raya akan datang, atau masih bawah bendera BN.

Perkara dibangkitkan Azalina mendapat reaksi pemimpin komponen BN – T Mohan, ketika itu naib presiden MIC yang menyatakan partinya tidak ada halangan bagi Umno menggunakan logo sendiri apabila bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Seorang ahli akademik Azmi Hassan turut berpandangan parti Melayu itu wajar menggunakan lambangnya sendiri pada PRU16 memandangkan simbol Umno dalam politik ‘masih kuat dan lebih berkesan’ berbanding BN.

Bagaimanapun, beberapa pemimpinnya termasuk Ahli Majlis Kerja Tertinggi Puad Zarkashi tidak bersetuju dengan pandangan itu sebaliknya menegaskan Umno perlu bergerak dalam sebuah gabungan besar iaitu panji BN sebagai bukti ia parti berbilang kaum.

Umno adalah pemegang terbesar daripada 30 kerusi Parlimen dimenangi BN pada PRU15 iaitu 26, diikuti dua oleh MCA serta masing-masing satu dimiliki MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.