
“Yang membabitkan perkara seperti gangguan seksual adalah perkara yang tidak harus kita bertoleransi.
“Namun, berkaitan perkara itu (dakwaan bekas Ahli Parlimen PKR terbabit salah laku seksual), kita belum mendapat apa-apa maklumat dan kita serahkan kepada polis untuk melakukan siasatan,” katanya yang juga menteri komunikasi pada sidang media mingguan pasca mesyuarat Jemaah Menteri.
Sebelum ini, media melaporkan polis menyiasat seorang bekas Ahli Parlimen yang didakwa terbabit dalam kes gangguan seksual terhadap seorang wanita di sebuah pasar raya di Kota Damansara, Selangor.
Ketua Polis Petaling Jaya Shahrulnizam Ja’afar, dilaporkan berkata siasatan itu dibuat pihaknya selepas mengesan satu video tular berdurasi 18 saat berkait dakwaan itu.
Shahrulnizam berkata, suspek dipercayai bertugas di sebuah syarikat badan berkanun dan menjawat jawatan sebagai pengarah bukan eksekutif.
Dalam perkembangan lain, Fahmi akan mendapatkan maklumat lanjut daripada polis berkait status kes gangguan seksual terhadap wartawan ketika bertugas di PRK Sungai Bakap, Julai lalu yang diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
“Saya baru menerima maklumat mengenai perkara tersebut dan berhasrat membangkitkan dengan pihak polis,” katanya.