Projek empangan Nenggiri: Pindah 1,200 Orang Asli mulai tengah 2026

Projek empangan Nenggiri: Pindah 1,200 Orang Asli mulai tengah 2026

Pengarah Urusan TNB Power Generation, Muhamad Nazri Pazil, berkata pemindahan itu akan dilakukan secara peringkat, selepas empangan itu siap.

Pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri giat dijalankan. (Gambar Bernama)
GUA MUSANG:
Seramai 1,200 Orang Asli di Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Kuala Wias di sini yang terkesan dengan pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri akan dipindahkan mulai pertengahan 2026.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Muhamad Nazri Pazil berkata pemindahan penduduk Orang Asli itu akan dilakukan secara peringkat, selepas empangan hidroelektrik itu siap dibina.

Ketika ini, TNB sedang membina rumah mereka di penempatan dipilih komuniti terbabit.

“Ia melibatkan 245 ketua isi rumah (KIR), iaitu 84 KIR di Pos Pulat dan Kampung Kuala Wias dengan keluasan 720 ekar dan 161 KIR di Pos Tohoi dengan keluasan 1,337 ekar.

Pengarah Projek Hidroelektrik Nenggiri TNB Power Generation, Dahalil Saad (kanan) memberi penerangan pelan reka bentuk empangan ketika lawatan media hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan TNB Power Generation, Muhamad Nazri Pazil (tengah). (Gambar Bernama)

“TNB akan memindahkan Orang Asli sebelum kami menenggelamkan kawasan penempatan mereka,” katanya selepas melawat tapak hidroelektrik Nenggiri, di sini.

Beliau berkata, projek hidroelektrik yang mula dibina Mac 2022 itu dijangka siap sepenuhnya November 2027.

Menurutnya, kemajuan pembinaan empangan hidroelektrik itu berjalan mengikut jadual dan kini mencapai 40.5%.

“Pembinaan empangan hidroelektrik ini mempunyai cabaran tersendiri, termasuk banyak tanah runtuh berlaku dan kami terpaksa membuat pembaikan di kawasan terlibat.

“Apabila projek empangan itu siap kelak, ia dijangka membuka 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar dan Orang Asli, termasuk dalam mengendalikan empangan tersebut.”

Katanya, projek itu akan meningkatkan sektor pelancongan dan sosioekonomi di Gua Musang, contohnya sektor pelancongan boleh dikembangkan di empangan Nenggiri, termasuk “boat house” seperti di Tasik Kenyir, Terengganu.

Projek hidroelektrik Nenggiri yang menelan kos RM5 bilion itu akan membentuk Tasik Takungan Utama seluas 53.84km persegi dan Kolam Pengaturan Aliran seluas 0.97km persegi yang berupaya menjana 300 megawatt.

Ia juga akan meningkatkan kapasiti elektrik Tenaga Boleh Baharu (TBB) di Semenanjung Malaysia, berperanan sebagai penggerak utama peralihan industri tenaga negara serta mengukuhkan usaha untuk memastikan bekalan elektrik stabil dan boleh diharap untuk rakyat serta negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.