Polis siasat video ‘sembang dadah’

Polis siasat video ‘sembang dadah’

Polis berkata rakaman itu sudah diteliti dan siasatan lanjut sedang dilakukan.

video tular dadah
Tangkap layar video tular di media sosial memaparkan perbualan empat individu yang dikatakan mengenai pengambilan dadah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menyiasat satu rakaman video tular di media sosial yang menunjukkan perbualan empat individu dipercayai remaja berhubung dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Khaw Kok Chin, berkata pihaknya sudah meneliti rakaman video itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut.

“Pada masa sama, salah seorang individu yang dipercayai terbabit dalam video itu juga sudah membuat laporan polis hari ini di Melaka.

“Polis akan memanggil individu lain yang terbabit untuk membantu siasatan,” katanya menurut Harian Metro.

Khaw berkata, polis sedang menjalankan risikan dan penelitian terhadap perbualan berkenaan didakwa berkaitan dadah dan objek ditunjukkan ketika siaran langsung di media sosial yang dikatakan sebagai bahan terlarang itu.

Terdahulu, rakaman berdurasi 53 saat itu tular di media sosial apabila memaparkan perbualan empat individu yang dikatakan mengenai pengambilan dadah.

Menerusi rakaman itu juga, dua daripada mereka turut menunjukkan satu plastik berwarna lut sinar didakwa bahan terlarang dan satu botol air dipercayai peralatan menghisap dadah.

Rakaman video yang ditonton lebih 20,000 pengguna media sosial dan dikongsi lebih 10,000 akaun itu mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang meminta PDRM supaya menjalankan siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.