Gelanggang sama tinggi perlu jadi asas sebalik dasar Bumiputera, tegas penganalisis

Gelanggang sama tinggi perlu jadi asas sebalik dasar Bumiputera, tegas penganalisis

Barjoyai Bardai berkata kerajaan tidak akan dapat capai matlamat dasarnya menerusi gelanggang berbeza antara masyarakat Bumiputera dan bukan Bumiputera.

kl skyline
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika melancarkan PuTERA35 berkata negara perlu pelan baharu yang akan memacu agenda Bumiputera.
PETALING JAYA:
Menyediakan ‘gelanggang sama tinggi’ perlu menjadi asas di sebalik dasar kerajaan untuk masyarakat Bumiputera agar matlamatnya tercapai, menurut penganalisis ketika mengulas Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Barjoyai Bardai percaya kerajaan tidak akan dapat mencapai matlamat dasar itu menerusi gelanggang berbeza antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

“Gelanggangnya mesti setimpal baru dapat capai matlamat,” katanya kepada FMT. “Menyediakan gelanggang yang sama tinggi perlu menjadi asasnya.”

Kelmarin, Perdana Menteri Anwar Ibrahim melancarkan PuTERA35 yang bertujuan menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor ekonomi, dan meningkatkan taraf serta kualiti hidup sekali gus merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

Pelan itu menggarap 12 pemacu dan 132 ikhtiar dalam memperkasakan lagi agenda Bumiputera.

Menurut Anwar, negara perlukan suatu pelan baharu yang akan memacu agenda Bumiputera ke tahap lebih baik dan jelas.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata PuTERA35 perlu memastikan strateginya bersifat lestari, disertai dengan kajian berkala yang meneliti aspek keterangkuman.

“Dasar PuTERA hingga 2035, perlu memastikan strateginya bersifat lestari…tidak mengikut matlamat khusus tapi menyasarkan sesuatu yang berterusan,” katanya.

Sementara itu, Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berpandangan PuTERA35 lebih menyeluruh berbanding pelan strategik terdahulu kerana terarah membentuk komuniti yang memainkan peranan dalam sektor ekonomi berpotensi tinggi.

Katanya, PuTERA35 kelihatan menekankan pendekatan menyeluruh, dengan mengintegrasikan pendidikan, keusahawanan, pekerjaan, dan pengagihan kekayaan.

“Strategi holistik ini boleh membantu menangani cabaran multidimensi dihadapi oleh masyarakat Bumiputera.

“Pelan ini juga menekankan inovasi dan pembangunan kapasiti, dengan tujuan untuk membina masyarakat Bumiputera yang lebih keusahawanan dan berdaya tahan. Ini termasuk sokongan untuk syarikat permulaan, perusahaan kecil dan sederhana, serta pendigitalan perniagaan tradisional,” katanya.

Menurutnya, ‘peralihan’ ini penting untuk memastikan masyarakat Bumiputera kekal berdaya saing dalam ekonomi global yang semakin berteknologi tinggi.

Dalam pada itu, Awang Azman berkata pelan sebelum ini seperti Dasar Ekonomi Baru lebih tumpu kepada peningkatan pemilikan ekuiti, pendidikan, dan peluang pekerjaan.

“Inisiatif-inisiatif ini sering dikritik kerana menghadapi cabaran dalam pelaksanaan, termasuk isu ketirisan, ketidakcekapan, dan kekurangan kemampanan,” katanya.

Beliau ambil maklum bahawa pelan baharu diumumkan Anwar itu mengandungi mekanisme lebih kuat untuk memantau kemajuan dan memastikan ketelusan – menangani salah satu kritikan utama terhadap pelan terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.